Friday, February 26, 2010

Mangsa Ragut

Maut bantu isteri diragutGambar Hiasan
Oleh Mohamad Yatim Latip
MELAKA: “Saya tidak sangka kejadian ini akhirnya meragut nyawa suami yang cuba membantu selepas seorang peragut bertindak kejam merentap rantai leher sambil mengheret saya yang ketakutan walaupun sudah jatuh terbaring di atas tanah.” Begitu kata warga emas, Maimun Ibrahim, 55, berhubung peristiwa malang yang menimpa pasangan suami isteri terbabit apabila seorang lelaki berusia lewat 20-an meragut rantai lehernya di pekarangan rumah mereka di Bukit Pegoh, Telok Mas, di sini, pada 19 Februari lalu. Lebih memilukan, suaminya, Munip Omar, 71, yang mengalami patah tulang pinggul akhirnya meninggal dunia pada jam 3.24 petang, Selasa lalu di Hospital Melaka akibat jangkitan kuman pada paru-parunya yang dipercayai berpunca daripada darah beku akibat kecederaan dialami mangsa. Maimun berkata, sebelum kejadian, dia ternampak seorang lelaki berjalan mundar-mandir kira-kira dua kali di perkarangan masjid seolah-olah mencari sesuatu ketika sedang menyapu di beranda rumahnya manakala arwah suaminya pula sedang duduk di kusyen panjang berhampiran.
Katanya, dia yang menyangkakan lelaki terbabit cuba mencari tandas kemudian menegur dengan memberitahu tandas lelaki terletak bersebelahan kerana suspek berkenaan cuba memasuki tandas perempuan. “Selepas menunjukkan tandas lelaki, saya pun tidak perasan sama ada dia memasuki tandas itu atau tidak. Sebelum itu, saya ada juga terdengar suara seseorang dipercayai rakan lelaki itu berteriak selain mendengar bunyi enjin motosikal yang tidak kelihatan. “Bagaimanapun, tidak lama kemudian, lelaki itu tanpa disedari sudah berada di belakang saya dan dalam sekelip mata terasa rantai leher direntap mengakibatkan berasa begitu terkejut. “Saya cuba melawan kudrat lelaki berkenaan hingga membuatkan dia mencekak rantai leher dengan lebih kuat menyebabkan saya jatuh terbaring,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga suaminya di Kampung Tengah, Paya Dalam, di sini, kelmarin. Maimun berkata, sebaik terjatuh, lelaki berkenaan terus mengheretnya sehingga mengakibatkan dia terasa tubuhnya bergesel dengan permukaan tar di luar rumah akibat tindakan kejam terbabit. Katanya, ketika itu, suaminya yang sedang berbaring di kusyen bergegas keluar dan memukul suspek dengan penyodok plastik sehingga pecah. Bagaimanapun tindakan arwah suaminya itu membuatkan suspek marah lalu menolaknya hingga jatuh terduduk. “Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya yang turut terkejut melihat arwah suami ditolak terus tidak melawan menyebabkan lelaki terbabit merentap sebelum melarikan rantai leher bernilai kira-kira RM3,000,” katanya.

Thursday, February 25, 2010

Ustazah Terlanjur

KUALA LUMPUR: Dia seorang ustazah bertudung labuh yang berkelulusan dalam bidang agama dari sebuah universiti di Timur Tengah, sebelum ini mengajar di sebuah masjid dan sebuah sekolah rendah di Kota Tinggi, Johor, serta bersuamikan seorang ustaz yang disegani di daerah itu. Bagaimanapun, di sebalik perwatakan lembut dan alim, ustazah berusia 35 tahun itu sanggup menconteng arang di muka keluarga dan suaminya, apabila ditangkap khalwat bersama seorang duda sebayanya, yang juga bekas rakan sekolahnya dan suami.Ustazah yang memiliki latar belakang yang kuat berpegang kepada ajaran agama itu memberi alasan kononnya dia tertekan akibat suaminya berpoligami sehingga sanggup menjalinkan hubungan cinta dengan duda terbabit dan lebih mengejutkan, mereka dipercayai pernah beberapa kali terlanjur.
Tembelang ustazah terbabit pecah apabila dia ditangkap khalwat ketika berdua-duaan dengan duda itu, baru-baru ini dan mereka dilaporkan mengambil masa hampir setengah jam sebelum membuka pintu rumah kedai yang didiami dengan kedua-duanya dalam keadaan berpakaian lengkap.Menurut sumber, lebih menyedihkan, ketika kejadian, suami ustazah terbabit berada di Makkah untuk menunaikan haji.Katanya, sejurus ditangkap berkhalwat, ustazah terbabit menghubungi suaminya untuk memaklumkan kejadian dan terus meminta cerai.Menurutnya, ustazah terbabit dan suaminya berkahwin pada 1997, tetapi tidak dikurniakan cahaya mata menyebabkan mereka mengambil dua anak angkat termasuk seorang daripadanya dipelihara sejak kecil.“Wanita itu bertemu dengan duda yang juga bekas rakan sekolahnya ketika perlawanan boling pada awal tahun lalu dan sejak itu hubungan mereka semakin rapat apabila lelaki itu menjadi tempatnya mencurah perasaan dan menagih simpati.“Ustazah itu memberitahu duda terbabit kononnya dia tertekan kerana suami berkahwin lain sedangkan sebelum ini, dia sendiri bersetuju serta membenarkan suaminya berpoligami dan mereka sama-sama ke mahkamah untuk menguruskan perkahwinan itu.“Tetapi, sebagai seorang yang ada latar belakang agama, hubungan dengan lelaki lain bukan cara untuk mengatasi tekanan lebih-lebih lagi dia masih berstatus isteri orang dan perhubungan itu mendekatkan mereka dengan maksiat,” katanya.Sumber itu berkata, selepas ditangkap, duda itu pula mengaku dia pernah terlanjur dengan wanita berkenaan, tetapi di pihak ustazah terbabit, dia masih mahu ‘menegakkan benang basah’ dan menyebarkan berita kononnya dia dianiaya.Menurutnya, demi menjaga nama baik keluarga dan maruah isteri, suami ustazah terbabit membuat pengakuan kononnya membenarkan duda terbabit menjemput isterinya yang baru pulang daripada rombongan sekolah, sebelum mereka ditangkap khalwat.Katanya, ketika ditangkap, pasangan terbabit memberi alasan duda terbabit datang untuk menghantarnya pulang ke rumah dan membantu mengangkat beg.Sementara itu, Harian Metro difahamkan, ustazah terbabit dan pasangannya akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kota Tinggi, pada 22 Mac ini, atas tuduhan berkhalwat.

Wednesday, February 24, 2010

Sunday, February 21, 2010

Masjid Runtuh

Masjid runtuh hempap jemaah

SEKUMPULAN penduduk tempatan mengusung seorang mangsa yang berjaya diselamatkan daripada runtuhan di Meknes semalam.

KOSMO / 21.02.2010
RABAT - Hujan lebat menjadi punca sebuah menara masjid berusia 400 tahun di Meknes, 140 kilometer dari Rabat, ibu negara Maghribi, tiba-tiba runtuh sebelum menghempap ratusan jemaah yang sedang mendengar khutbah Jumaat kelmarin. Kementerian Dalam Negeri berkata, sekurang-kurangnya 41 dikhuatiri maut manakala 86 cedera dalam kejadian tragis di Masjid Lalla Khenata dalam daerah Bab Berdieyinne yang dibina Sultan Moulay Ismail sewaktu Meknes menjadi ibu negara abad ke-16. Pemerintah Maghribi, Raja Mohamed VI menitahkan pihak berkuasa untuk segera membina semula masjid itu yang juga mercu tanda utama Meknes setelah diiktiraf sebagai tapak warisan dunia UNESCO dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Angka maut dijangka bertambah kerana masih ramai mangsa terperangkap belum dikeluarkan daripada runtuhan manakala mereka yang parah terpaksa dihantar ke bandar berdekatan Fes, kata ahli Parlimen tempatan, Dr. Abdallah Bouanou. Sepasukan pakar psikologi turut dihantar tetapi pasukan penyelamat mendakwa, usaha mencari mangsa agak perlahan kerana hujan lebat berterusan menyukarkan mereka mengesan mangsa. – Agensi

Saturday, February 20, 2010

Tuesday, February 9, 2010

Jangan Gabra Bila Ditahan Oleh Polis

Bila Ditahan Oleh Polis, Jangan Gabra. Baca Ini!!
Ketahui Hak-Hak Anda Bila Di Tahan Polis
1. APABILA DIBERHENTIKAN POLIS
1.1 Tidak Berpakaian Seragam, Minta Pengenalan Diri
Jika beliau tidak berpakaian seragam, minta beliau tunjukkan pengenalan diri. Katakan; “Sila tunjukkan Kad Kuasa Polis anda.”
1.2 Kad Kuasa Polis
Merah : Pegawai Polis yang digantung tugas. Beliau tiada kuasa untuk melakukan apa-apa terhadap anda. Anda boleh berlalu dari situ.
Lain-lain Warna :
• Biru : Berpangkat Inspektor dan ke atas.
• Kuning : Berpangkat lebih rendah daripada Inspektor.
• Putih : Polis Simpanan
Ambil perhatian nama dan nombor Kad Kuasanya.
1.3 Berpakaian seragam
Ambil perhatian nama dan nombor ID pada pakaian seragamnya.
1.4 Kenderaan Peronda Polis
Ambil perhatian nombor pendaftaran kereta atau motosikal peronda berkenaan.
2. POLIS MENYOAL SIASAT ANDA SEMASA DIBERHENTIKAN
2.1 PengenaIan Diri
Hanya berikan nama, nombor kad pengenalan dan alamat anda.
2.2 Polis bertanyakan soalan-soalan lain
Tanya dengan sopan, "Adakah saya sedang ditangkap?"
2.3 Adakah anda sedang ditangkap
Anda sedang ditangkap jika Polis:
• menjawab "ya";
-tidak membenarkan anda berlalu/mahu membawa anda keBalai Polis; atau
• menggari anda.Jika anda tidak ditangkap, anda boleh berlalu/menolak untuk mengikutnya ke Balai Polis atau ke mana sahaja, jika diminta.
2.4 Bilakah anda tidak boleh ditangkap
Polis tidak boleh menangkap anda semata-mata kerana anda berpotensi sebagai saksi dan mereka mahu mengambil pernyataan daripada anda (Pernyataan 112/Saksi).
3. SOAL SIASAT OLEH PIHAK POLIS TANPA TANGKAPAN
3.1 Pernyataan 112
Semasa pihak Polis sedang menjalankan siasatan berhubung sesuatu kes dan berpendapat anda mempunyai maklumat/pengetahuan tentang kes tersebut, pihak Polis boleh menyoal siasat anda dan mencatat semua jawapan anda (Pernyataan 112).
3.2 Permintaan Rasmi / Tidak Rasmi
Kebiasaannya, Polis membuat permintaan tidak rasmi supaya anda memberikan Pernyataan 112. Jika tempat dan masa sesuai bagi anda, anda boleh bekerjasama. Jika tidak, beritahu
Polis anda akan bekerjasama di tempat dan pada masa yang sesuai. Jika anda menolak untuk bekerjasama, Polis boleh mengeluarkan arahan rasmi secara bertulis, ditandatangani oleh seorang Pegawai Penyiasat (Pegawai Polis) mengkehendaki anda untuk bekerjasama. Jika anda tidak mematuhi Arahan Polis tersebut, anda tidak boleh ditangkap. Walau bagaimanapun, ia adalah satu kesalahan dan pihak Polis boleh memohon kepada Mahkamah untuk mengeluarkan satu waran terhadap anda mendesak anda supaya bekerjasama.
3.3 Membuat Pernyataan 112
Semasa membuat Pernyataan 112, anda boleh menolak untuk menjawab mana-mana soalan/berdiam diri jika jawapannya mungkin mendedahkan anda kepada kesalahan jenayah.
• Bawa bersama anda buku catatan atau kertas tulis (Nota Peribadi).
• Catatkan dalam Nota Peribadi anda semua soalan yang ditanyakan.
• Pastikan bahawa anda faham setiap soalan yang ditanyakan.
• Ambil masa anda dan fikir dengan teliti sebelum menulis jawapan didalam Nota Peribadi anda.
• Bacakan jawapan anda kepada Pegawai Polis yang menyoal anda.
• Simpan Nota Peribadi anda sebagai rujukan di masa hadapan.
3.4 Menandatangani Pernyataan 112 anda
Sebelum menandatangani Pernyataan anda, baca dengan teliti semua soalan dan jawapan anda yang ditulis oleh Pegawai Polis yang berkenaan.
• Bandingkan Pernyataan yang anda akan tandatangani dengan Nota Peribadi anda.
• Anda berhak membuat pembetulan/pindaan ke atas Pernyataan tersebut sebelum ditandatangani.
• Turunkan tandatangan betul-betul di bawah ayat terakhir Pernyataan anda.
4. POLIS MENANGKAP ANDA
4.1 Tanya: "Mengapa saya ditangkap?"
Sesuatu tangkapan menjadi tidak sah jika anda tidak diberitahu alasan tangkapan.
4.2 Jangan melawan semasa ditangkap
Polis mempunyai hak untuk menggunakan kekerasan yang munasabah semasa menangkap anda jika anda melawan.
4.3 Tanya: "Balai Polis manakah saya akan dibawa?"
Pegawai Polis yang menjalankan tangkapan mestilah dengan segera membawa anda ke
Balai Polis yang berdekatan dan bukan sebaliknya.
4.4 Apa yang perlu anda lakukan apabila ditangkap
Anda mempunyai hak untuk membuat satu panggilan telefon kepada:
1. Keluarga atau rakan; dan/atau
2. Seorang peguam.
Anda juga bolah menghubungi Pusat Bantuan Guaman (LAC).Maklumkan kepada mereka:
• yang anda telah ditangkap;
- masa, tempat dan alasan ditangkap;
• Balai Polis di mana anda dibawa.
4.5 Apa yang akan berlaku selepas ditangkap
Anda boleh ditahan sehingga 24 jam:
• Di Balai Polis, atau
• Di dalam lokap untuk "membantu" penyiasatan Polis.
5. HAK ANDA SELEPAS DITANGKAP DAN SEMASA DALAM TAHANAN
5.1 Hak untuk berunding dengan seorang peguam
Sebaik sahaja anda meminta kehadiran seorang peguam, anda mempunyai hak untuk berunding dengan peguam berkenaan di Balai Polis. Pihak Polis mestilah memberikan kemudahan-kemudahan yang munasabah dan masa yang munasabah untuk anda berjumpa dan berbincang dengan peguam berkenaan. Pihak Polis bagaimanapun boleh menafikan hak ini, jika kelengahan dalam menyoalsiasat andaboleh menyebabkan berlakunya jenayah lain atau menyebabkan bahaya kepada pihak lain.
5.2 Pakaian
Anda dibenarkan mempunyai satu set pakaian bersama anda semasa di dalam lokap.
5.3 Barangan peribadi
Pihak Polis mestilah merekodkan semua barangan peribadi anda dan meletakkannya dalam simpanan selamat. Barangan peribadi anda mesti dipulangkan kepada anda sebaik sahaja dibebaskan.
5.4 Kebajikan
Anda dibenarkan mandi dua kali sehari. Jika anda jatuh sakit, anda berhak mendapat rawatan perubatan dengan serta-merta. Anda sepatutnya diberikan makanan dan minuman yang wajar dan secukupnya semasa dalam tahanan.
5.5 Berapa lamakah pihak Polis boleh menahan anda
Pihak Polis hanya boleh menahan anda sehingga 24 jam untuk siasatan. Tugas Polis adalah untuk menyelesaikan penyiasatan dalam masa 24 jam dan melepaskan anda dengan segera.
Jika pihak Polis tidak dapat menyelesaikan penyiasatan dalam tempoh 24 jam, Polis mesti membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk mendapatkan perintah reman untuk memanjangkan tempoh penahanan anda melebihi 24 jam (Perintah Reman).
6. PERINTAH REMAN OLEH MAJISTRET SELEPAS 24 JAM
6.1 Siapakah Majistret
Majistret ialah seorang pegawai kehakiman yang mempunyai kuasa untuk membuat Perintah Reman bagi menahan anda lebih daripada24 jam.
6.2 Tujuan Perintah Reman
Untuk memberi lebih masa kepada Polis untuk melengkapkan penyiasatan dan memutuskan sama ada terdapat bukti untuk mendakwa anda atas satu-satu kesalahan. Pihak Polis tidak boleh memohon Perintah Reman hanya untuk mengambil Pernyataan daripada anda
6.3 Berapa lamakah Perintah Reman
Apabila pihak Polis membawa anda ke hadapan seorang Majistret untuk memohon Perintah Reman, pihak Polis perlu memberikan alasan kepada Majistret mengapa anda perlu ditahan melebihi 24 jam. Tugas Majistret adalah untuk menimbangkan secara berhati-hati alasan-alasan yang diberikan oleh pihak Polis.
Majistret berkenaan mempunyai budi bicara:
• untuk tidak membenarkan Perintah Reman dan seterusnya melepaskan anda; atau
• membenarkan Perintah Reman untuk satu tempoh yang lebih pendek daripada yang dipohon oleh pihak Polis.
Seorang Majistret mempunyai kuasa untuk membenarkan Perintah Reman tidak melebihi 4 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat. Pihak Polis boleh memohon Perintah Reman kedua selepas tamatnya Perintah Reman pertama. Majistret boleh membenarkan Perintah Reman kedua untuk tempoh tidak melebihi 3 hari atau 7 hari bergantung kepada jenis kesalahan yang sedang disiasat.
6.4 Apa yang perlu anda katakan ketika anda dibawa di hadapan seorang Majistret untuk proses reman
Maklumkan kepada Majistret:
• anda mahu diwakili oleh seorang peguam dan anda mahu menghubungi peguam, pusat bantuan guaman dan keluarga anda;
• jika anda mahukan rawatan perubatan kerana anda sakit atau telah dipukul;
• jika pihak Polis telah mengugut atau memukul anda semasa dalam tahanan;
• jika anda telah tidak diberikan makanan/minuman/pakaian atau perubatan yang wajar dan mencukupi semasa dalam tahanan;
• sama ada pernah ditahan sebaik sebelum penahanan terkini anda;
• sama ada pihak Polis telah menjalankan apa-apa penyiasatan semasa anda dalam tahanan.
6.5 Mohon supaya Majistret memberikan Perintah Reman yang singkat
Sebelum Majistret berkenaan membuat Perintah Reman, mohon tempoh reman yang lebih singkat daripada yang dipohon oleh pihak Polis. Beri alasan (sebagai contohnya: "saya akan bekerjasama dengan polis dalam siasatan mereka", "saya boleh dihubungi bila-bila masa dan tidak akan melarikan diri" dll).
7. PEMERIKSAAN BADAN TANPA TANGKAPAN
7.1 Bilakah ianya boleh dilakukan
Jika anda berada di satu-satu tempat
(contohnya: disko/karaoke/ pusat-pusat hiburan) di mana Polis menjalankan serbuan untuk mencari sesuatu (contohnya: dadah), pihak Polis boleh menahan dan memeriksa anda jika mereka berpendapat anda mempunyai atau sedang menyembunyikan barang yang sedang dicari itu. Ini hanya boleh dilakukan dengan kehadiran seorang Pegawai Polis berpangkat Inspektor dan ke atas.
7.2 Apa yang perlu dilakukan
• Jangan benarkan Pegawai Polis berkenaan memasukkan tangannya ke dalam pakaian anda atau kocek/saku anda.
• Jika anda diminta untuk mengeluarkan barangan peribadi anda satu persatu, setiap kali sebut "dompet", "kunci", "Kad Pengenalan" dll.
• Apabila kocek/saku/beg anda telah dikosongkan, terbalikkan kocek/ saku/beg anda.
7.3 Hak-hak anda
• Semua pemeriksaan badan mestilah dijalankan secara profesional dan sopan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
• Jika anda dipaksa/diugut untuk berbogel:
1. Bantah;
2. Ingat nama Pegawai Polis tersebut; dan
3. Buat laporan Polis selepas insiden tersebut.
8. PEMERIKSAAN BADAN SELEPAS TANGKAPAN BERLAKU
8.1 Bila Polis boleh berbuat demikian
• Polis secara munasabah mengesyaki bahawa anda mempunyai bukti/keterangan berhubung kesalahan yang disyaki.
• Anda ditangkap.
• Pemeriksaan badan mestilah dijalankan di tempat tertutup. Anda mempunyai hak untuk diperiksa badan di tempat tertutup.
8.2 Jenis-jenis Pemeriksaan Badan
Undang-undang membenarkan Polis melakukan 4 jenis pemeriksaan badan:-
1. Pemeriksaan secara menepuk badan dari atas ke bawah- pemeriksaan pakaian luaran.
2. Pemeriksaan tanpa pakaian - untuk mencari bukti, objek, barang terlarang atau senjata. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran seorang pegawai berpangkat Inspektor dan ke atas.
3. Pemeriksaan sulit - selain daripada mencari di dalam mulut, hidung and telinga. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran pegawai berpangkat Penolong Penguasa (ASP) dan ke atas.
4. Pemeriksaan dalaman - untuk menentukan kewujudan objek-objek dll. di dalam badan. Hanya boleh dijalankan dengan kebenaran Ketua Polis Daerah (OCPD). Hendaklah dijalankan oleh seorang Pegawai Perubatan atau Pegawai Perubatan Kerajaan.
8.3 Hak anda
• Semua pemeriksaan badan mesti dijalankan secara profesional dan sopan.
• Anda dinasihatkan supaya meminta ditemani oleh peguam anda semasa pemeriksaan dilakukan.
• Seorang wanita hanya boleh diperiksa badannya oleh seorang Pegawai Polis wanita.
9. SOAL-SIASAT OLEH POLIS SELEPAS DITANGKAP
9.1 Kenal pasti Pegawai Polis yang menyoal siasat anda
Ambil perhatian nama/pangkat Pegawai Polis yang menyoal siasat anda.
9.2 Hak anda untuk berdiam diri
Polis lazimnya akan beramah mesra terlebih dahulu (contohnya: bertanyakan tentang keluarga dan rakan-rakan anda dll.) Anda hanya perlu memberikan nama penuh, umur, alamat dan pekerjaan anda (Maklumat-Maklumat Peribadi). Selain Maklumat-Maklumat Peribadi, anda berhak memilih untuk berdiam diri. Anda harus bersopan. Anda tidak perlu takut untuk berdiam diri. Ini adalah hak anda. Jika anda memilih untuk berdiam diri, katakan, "Saya ingin menggunakan hak saya untuk berdiam diri."
9.3 Pernyataan 112 anda semasa dalam penyiasatan
Pihak Polis akan bertanyakan soalan-soalan kepada anda dan kemudian mencatatkan semua jawapan anda. Polis tidak boleh mengugut atau memaksa anda untuk memberi Pernyataan. Jika anda diugut, dipukul atau dipaksa, buat satu laporan Polis terhadap Pegawai Polis berkenaan dengan segera. Ini adalah hak anda.
9.4 Pernyataan 112 tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti
Secara amnya, apa jua Pernyataan yang anda buat kepada Polis semasa soal-siasat tidak boleh digunakan sebagai keterangan/bukti kecuali jika anda dituduh atas kesalahan-kesalahan di bawah, sebagai contoh, Akta Dadah Berbahaya, Akta Culik dan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Walau bagaimanapun anda boleh menggunakan Pernyataan anda untuk menyokong pembelaan anda semasa perbicaraan.
PUSAT BANTUAN GUAMAN / LEGAL AID CENTRES (LAC)
• Kuala Lumpur : 03-2691 3005 / 03-2693 2072
• Selangor : 03-5510 7007 / 03-3281 2428
• Negeri Sembilan : 06-6013 844
• Melaka : 06-2845 519 / 06-2864 514
• Johor : 07-2235 698
• Perak : 05-2550 523
• Kedah & Perlis : 04-7333 467
• Kelantan : 04-7448 660
• Pahang : 09-5159 244 / 09-2969 410
• Pulau Pinang : 04-2617 451/ 04-3108 451

Monday, February 1, 2010

Cedera Tersepit Eskalator

Kanak-kanak lelaki cedera parah kaki tersangkut eskalator
KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun parah di kaki kirinya akibat tersepit di eskalator hampir satu jam di sebuah pusat membeli-belah di Bandar Utama di sini, hari ini. Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa bersama ibunya sedang menuruni eskalator terbabit untuk ke lobi dan tiba-tiba kanak-kanak itu menjerit kesakitan dan menangis apabila kaki kirinya tersangkut di tangga bergerak itu. Difahamkan, pihak pengurusan pusat membeli-belah itu dan orang ramai cuba mengeluarkan kaki kanak-kanak malang itu selepas mendengar jeritan ibu mangsa. Mereka bagaimanapun, terpaksa mendapatkan pertolongan Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk mengeluarkan kaki kanak-kanak itu selepas percubaan mereka gagal. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Damansara ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu daripada pihak pengurusan pusat membeli-belah itu kira-kira jam 11.56 pagi. Sebuah jentera dengan lima anggota bergegas ke lokasi, dan berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak itu dalam tempoh setengah jam. Mangsa dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebelum dirujuk ke Pusat Perubatan Pakar Damansara untuk rawatan lanjut. - Bernama