Tuesday, March 30, 2010

Terjun Flat Putus Cinta

Terjun flet putus cinta

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Gara-gara putus cinta, seorang wanita sempat menghubungi kakak kepada teman lelakinya sebelum bertindak terjun dari tingkat 12 di flet Danau Kota dalam satu kejadian, awal pagi semalam.Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, mangsa berusia 25 tahun itu dikatakan pergi ke flet terbabit kira-kira jam 3 pagi setelah berselisih faham dengan teman lelakinya. “Seorang penduduk ternampak mangsa yang berkeliaran dan kelihatan resah di tingkat 12 namun tidak mengesyaki apa-apa. “Kira-kira jam 4 pagi, seorang penduduk lain ternampak mayat mangsa di tingkat bawah dengan kecederaan parah. “Siasatan awal mendapati, mangsa sempat menghubungi kakak kepada teman lelakinya memberitahu dia berada di tempat tinggi namun apabila tiba di flet itu mereka gagal menjumpainya sehingga mayatnya ditemui,” katanya. Menurut Zakaria, pihaknya akan mengambil keterangan daripada keluarga mangsa dan teman lelakinya dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Monday, March 29, 2010

Wira Muda

Abang jadi ‘Superman'
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
IPOH: Remaja lelaki berusia 13 tahun bagaikan Superman mengharungi api yang marak untuk menyelamatkan empat adiknya berusia antara tiga hingga 11 tahun selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran, di Rapat Setia, kira-kira 4 pagi semalam. Selepas dikejutkan ibu, remaja berkenaan bergegas mengejutkan semua adiknya sebelum mengumpulkan mereka di dapur rumah selepas sebuah bilik serta ruang tamu rumah marak dijilat api. Tanpa memikirkan keselamatan diri, dia mendukung adik bongsunya berusia enam dan tiga tahun serta mengheret dua lagi adiknya berusia sembilan dan 11 tahun keluar melalui pintu depan rumah biarpun terpaksa berdepan kesukaran kerana api marak dan asap tebal. Dalam kejadian itu, sebuah rumah yang didiami sepasang suami isteri bersama lima anak mereka musnah dijilat api selain memusnahkan sebuah kereta, lori dan motosikal milik keluarga berkenaan. Remaja terbabit, Mohd Azraey Normansor, berkata sebaik dikejutkan ibunya, dia segera bangun dan mengejutkan adiknya yang tidur dalam sebuah bilik manakala ibunya, Norlina Mat Lias, 34, cuba menyelamatkan beberapa dokumen. “Saya bernasib baik kerana tidak cedera. Kebakaran berlaku sangat pantas dan saya bersyukur kerana semuanya selamat,” katanya, semalam.
Sementara itu, Norlina berkata, dia nekad membawa keluar sebuah kenderaan pacuan empat roda miliknya bagi mengelak dari terbakar namun gagal mengalihkan sebuah lagi kenderaan.
Suaminya, Normansor Mat Jini, 50, yang juga pengusaha kilang memproses ayam, berkata dia keluar bekerja kira-kira jam 3 pagi. “Isteri hubungi saya. Sebaik tiba kira-kira jam 5 pagi, rumah berkenaan sudah musnah terbakar namun saya bersyukur kerana isteri dan anak-anak selamat,” katanya. Sementara itu, Pegawai Kanan II, Bomba dan Penyelamat Balai Ipoh, Mahir Saad berkata, pihaknya dengan tiga jentera serta 16 anggota tiba di tempat kejadian kira-kira 10 minit selepas dihubungi kira-kira 4.15 pagi dan dapat memadamkan kebakaran lima minit kemudian. Katanya, sebaik pasukannya tiba, rumah setingkat itu sudah 90 peratus terbakar, namun usaha memadam kebakaran terus dilakukan.

Sunday, March 28, 2010

Lari Tanpa Seurat Benang

Lari tanpa seurat benang

Gambar Hiasan

PASIR GUDANG: Seorang pegawai kanan kerajaan berusia separuh abad berlari keluar dari bilik tidur dalam keadaan berbogel ketika diserbu anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ). Dalam kejadian mengaibkan itu, lelaki terbabit nekad berlari keluar dari bilik tidur tanpa seurat benang di tubuhnya sebaik pasukan penguat kuasa JAJ mengetuk pintu sebuah rumah untuk pemeriksaan. Menurut sumber, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota penguat kuasa JAJ bersama polis menyerbu rumah flet itu di Jalan Harmoni, Kangkar Pulai, di sini, jam 3.30 pagi Khamis lalu. “Hasil siasatan awal, lelaki terbabit adalah pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan. Kes disiasat mengikut Enakmen Jenayah Syariah Johor 1997,” katanya. Sementara itu, keasyikan membuat percaturan terakhir serta sibuk mengambil pesanan nombor ramalan daripada rakan melalui telefon bimbit menjerat sekumpulan ‘kaki ekor’ apabila dicekup pasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Johor (JAJ) di premis judi nombor ekor di sekitar bandar raya ini, semalam. Akibat malu dengan perbuatan sendiri, ada di kalangan kumpulan terbabit meronta-ronta untuk melepaskan diri, mengakibatkan berlaku pergelutan kecil antara suspek dan pegawai JAJ. Operasi membabitkan 24 pegawai dan anggota penguat kuasa JAJ di Taman Air Biru, di sini, bermula jam 5 petang hingga 7 malam itu turut disertai 16 anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG). Menurut jurucakap JAJ, dalam operasi khas di kawasan berkenaan, seramai 22 individu beragama Islam, termasuk warga emas yang layak digelar datuk, dicekup kerana dipercayai terbabit dengan aktiviti perjudian.

Peraturan Tarik Kereta

Peraturan bank tarik kereta lebih ketat

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang akan dibuat bakal menyaksikan institusi kewangan dan perbankan perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dulu sebelum bertindak menarik kenderaan pengguna yang gagal menjelaskan ansuran bulanan mereka. Pindaan itu dibuat bagi melindungi pengguna terutama apabila berhadapan dengan penarik kereta yang bertindak ganas dan sewenang-wenang menarik kenderaan mereka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. “Isu tukang tarik kereta yang bertindak ganas dan tidak mengikut undang-undang menyebabkan pengguna berada dalam ketakutan apabila berhadapan dengan mereka dan tindakan mereka ini pula dibenarkan oleh pihak institusi kewangan. “Jadi kita akan pinda akta ini, bagi memperkenalkan peraturan yang lebih ketat dan tarik kereta hanya boleh dilakukan selepas mendapat kebenaran mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat ‘Bulan Agensi Kerajaan’, Bahagian Wangsa Maju, di sini semalam. Beliau berkata, bagaimanapun kebenaran mahkamah itu mungkin hanya diberi kepada pengguna atau peminjam yang sudah menjelaskan lebih dari satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pinjaman yang dibuat. “Kalau kurang dari satu per tiga, orang ini mungkin memang tidak berminat atau memang ada niat untuk tidak membayar, jadi kita tidak akan melindungi orang macam ini,” katanya.

Maut Ditetak

Duda maut ditetak
Oleh Mohd Nur Asnawi Daud dan Nor Azimah Othman
PORT DICKSON: Seorang ahli perniagaan maut dalam keadaan ngeri dengan beberapa kesan tetakan di paha manakala teman sebiliknya parah dipercayai diserang di sebuah chalet, awal pagi semalam. Ramli yang juga seorang duda beranak dua mati dipercayai kerana kehilangan banyak darah akibat beberapa tetakan di bahagian kiri dan kanan paha serta kaki dan mayatnya ditemui di atas katil. Kejadian itu disedari selepas wanita berkenaan menghubungi pihak chalet berkenaan memaklumkan kejadian berkenaan jam 6 pagi sebelum pengawal keselamatan bergegas ke tempat kejadian. Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, berkata wanita yang cedera di tangan, paha dan kaki kanan itu sempat membuka pintu bagi membolehkan pengawal keselamatan masuk ke dalam bilik berkenaan sebelum dia rebah. “Berdasarkan siasatan awal, polis tidak menemui kesan pecah masuk pada bahagian depan dan belakang chelet disewa mangsa,” katanya. Beliau berkata, polis percaya hanya seorang penyerang yang terbabit dalam kejadian itu dan siasatan lanjut mengenai motif sebenar kes itu masih diteruskan.
Menurutnya, polis tidak menemui sebarang senjata namun percaya kedua-dua mangsa ditetak menggunakan parang. “Polis juga tidak menolak kemungkinan penyerang mangsa datang melalui jalan laut. Kita juga sedang menjalankan pemeriksaan pada rakaman kamera litar tertutup (cctv) di kawasan chelet berkenaan untuk membantu siasatan. “Berdasarkan kepada penemuan beberapa barang berharga di tempat kejadian, polis menolak kemungkinan pembunuhan itu bermotifkan samun,” katanya. Difahamkan, ahli perniagaan itu mendaftar masuk menginap di chalet berkenaan jam 3 petang kelmarin. Sepasukan polis dari Unit Forensik dan Anjing Pengesan (K9) turut dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu kerja-kerja penyiasatan. Mayat mangsa yang beralamat di Shah Alam, Selangor dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya untuk dikebumikan. Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. Mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-6462999 atau balai polis berhampiran.

Imbau Zaman Koboi

Imbau zaman koboi

Oleh ROSLAN IBRAHIM
PEJAMKAN mata dan bayangkan diri anda pada era 1850-an di kawasan perlombongan emas di Sovereign Hill, Ballarat, Australia.

MERIAH... perkampungan Sovereign Hill yang sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti yang menggambarkan cara hidup masyarakat koboi era 1850-an.

KAGUM...panorama indah ini boleh anda lihat sendiri jika berkunjung ke Melbourne.
Inilah yang saya alami ketika di perkampungan ala koboi atau taman tema bersejarah yang menempatkan bangunan era 1850-an termasuk pub, hotel, kedai roti, pejabat pos, lombong emas, kandang kuda malah pusat permainan boling.Melihat masyarakatnya berpakaian ala koboi mengingatkan saya kepada filem itu yang pernah saya tonton apatah lagi saya amat meminati aktor tersohor Hollywood seperti Charles Bronson, Clint Eastwood dan John Wayne.
Ketika berjalan-jalan di perkampungan itu, seolah-olah saya salah seorang manusia yang hidup di zaman itu. Cara hidup mereka memang ‘hidup’ dengan karakter yang melambangkan masyarakat era itu. Ketika asyik meninjau perkampungan itu, saya dikejutkan dengan lakonan pergaduhan beberapa lelaki di pub kerana merebut wanita sehingga terpaksa dileraikan polis.
Kereta kuda yang memang sinonim dengan filem koboi menjadi pengangkutan utama untuk melakukan pelbagai tugas termasuk cari gali dan mengangkut emas. Ketika di kawasan itu, kadang kala kita lupa ia hanya perkampungan yang dibina semula untuk menggambarkan penempatan itu pada 1851. Perkampungan Sovereign Hill ini adalah antara tarikan pelancong utama di wilayah Ballarat. Lebih 500,000 pelancong mengunjungi kawasan itu setiap tahun sejak dibuka pada 29 November 1970. Di sini, anda bebas masuk di mana-mana bangunan untuk merasakan sendiri suasana abad ke-19 itu. Anda boleh mengambil gambar bersama pekerja yang memakai kostum zaman itu termasuk pasukan tentera dan polis. Jika mahu melihat lebih terbuka senario zaman itu, saksikan persembahan bunyi dan cahaya, bertajuk "Blood on the Southern Cross" yang disiarkan selama 90 minit Sovereign Hill adalah kawasan perlombongan emas utama di Australia dan di dunia yang dibuka pada 1851. Sebelum ini, kawasan seluas 25 hektar itu tidak ramai penghuni tetapi dengan penemuan emas, ia berkembang secara drastik penduduk luar untuk mencari rezeki. Sebanyak 60 bangunan di kawasan itu menggambarkan pembangunan pesat Sovereign Hill. Sepanjang aktiviti cari gali emas, pelombong pernah menemui emas seberat 69 kilogram dan dianggap terbesar di dunia, Nilainya ketika itu ialah RM2.8 juta. Saya berpeluang melihat demontrasi cara gali emas ketika wakil media yang ditaja Tourism Australia dan Emirate Airline membawa kami melawat lombong bawah tanah di The Red Hill. Menggunakan kesan visual, kami melihat pelombong menggunakan kaedah tradisional termasuk tukul besi untuk memecahkan batu dan menarik emas dengan kereta kuda.

>Destinasi menarik di Melbourne Melbourne Aquarium Di sini, anda boleh melihat pelbagai hidupan laut seperti jerung, pari, penguin dan penyelam yang memberi makan ikan dalam akuarium. Berada di sini, seolah-olah berjalan melalui lautan yang dikelilingi hidupan laut. Terowong yang dibina memudahkan anda melihat hidupan laut di depan mata. Bayaran masuk, RM65 (dewasa) dan RM54 (kanak-kanak) mungkin agak mahal tetapi berbaloi apabila menyaksikan pelbagai jenis ikan di dalam akuarium besar. Eureka Skydeck Dengan ketinggian 88 tingkat, Ia adalah bangunan tertinggi di Melbourne untuk melihat melihat bandar raya itu dari udara. Ia juga satu-satu di dunia, pelancong berpeluang duduk dalam kiub kaca, tiga meter di luar bangunan, seolah-olah anda terapung di udara. Queen Victoria Market Ia adalah mercu tanda Melbourne. Dengan keluasan tujuh hektar, ia adalah pasar terbuka terbesar dan diiktiraf antara kawasan seni warisan di Australia. Pasar itu diberi nama sempena nama Queen Victoria yang memerintah empayar British dari 1837 hingga 1901. Ia mula beroperasi pada 1850 dengan memasarkan produk kering dan basah. Reka bentuk pasar itu menggambarkan seni bina Inggeris. Pasar itu dibuka setiap hari kecuali Isnin dan Rabu. Pasar malam diadakan pada Selasa yang menawarkan pelbagai jenis barangan termasuk hiburan Ballarat Terletak di kawasan tanah tinggi dan perlombongan emas, Ballarat hanya sejam perjalanan dari Melbourne melalui Lebuhraya Western. Sepanjang perjalanan, anda dihidangkan panorama alam semula jadi termasuk ladang ternakan lembu, biri-biri dan kuda yang saujana mata memandang.

Taman Hidupan Liar Ballarat Kawasan seluas 116 hektar itu memberi peluang anda melihat hidupan liar di Australia di hadapan mata seperti kanggaru, koala, Tasmania Devil, pelbagai jenis burung dan buaya. Phillip Island Inilah peluang melihat hidupan laut secara dekat, antaranya anjing laut dan penguin. Kawasan ini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

Kereta Tersangkut

Kereta dipandu wanita tersangkut

Oleh Mohd Amin Jalil
SEREMBAN: Seorang wanita berdepan saat cemas apabila kereta Proton Waja yang dipandunya terbabit dalam kemalangan di Taman Cempaka Senawang, pagi semalam.

TERSANGKUT...kereta dipandu seorang wanita yang gagal dikawal ketika mengundur tersangkut pada tiang elektrik di Taman Cempaka Senawang semalam.

Seorang saksi, Soupi Ahmad, 40-an, berkata ketika mengundurkan kereta itu dia tidak menyedari kenderaan itu sudah menghampiri kawasan tiang elektrik di tepi jalan itu.Menurutnya, sebaik menghampiri tiang elektrik itu, mangsa dikatakan tidak dapat mengawal kenderaan dan tertekan minyak menyebabkan kereta itu tersangkut pada wayar sokongan tiang letrik.“Bahagian belakang kereta itu kemudiannya tersangkut pada tiang letrik terbabit, bagaimanapun wanita berkenaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.“Saya dan beberapa orang penduduk setempat kemudian membantu wanita itu keluar daripada berkenaan,” katanya.

Saturday, March 27, 2010

Hambat Bapa Dengan Lori

Hambat bapa dengan lori
Oleh Khairul Hamizy Ramlee am@hmetro.com.my
KUALA TERENGGANU: Busuknya hati seorang lelaki apabila tergamak memukul bapa kandungnya sendiri dengan sebatang kayu hanya kerana tidak puas hati gara-gara namanya tidak disenaraikan dalam pembahagian tanah keluarga itu sejak dua tahun lalu.Selain itu, anak sulung berhati binatang yang bekerja sebagai pemandu lori itu sanggup mengejar bapanya dengan kenderaan itu sehingga warga emas berkenaan nyaris pengsan akibat keletihan melarikan diri dua minggu lalu. Cucu mangsa, Nuur Nadia Farahana Azmi, 17, mendakwa kekejaman bapa saudaranya itu semakin menjadi-jadi selepas tindakan kurang warasnya mendapat sokongan seorang daripada sembilan adik beradiknya. “Saya sedih datuk sering dizalimi Pak Long. Kelmarin dia menyiram pokok duku datuk dengan diesel malah apabila dimarahi, orang tua itu dipukul dengan kayu sehingga dagunya cedera dan terpaksa dibawa ke hospital untuk rawatan,” katanya. Menurutnya, datuknya ada memberitahu, dia tidak menyenaraikan bapa saudaranya itu sebagai pewaris harta kerana bimbang tindakan itu akan membuatkan hidup datuknya merempat. “Datuk bimbang Pak Long akan menjual semua tanah yang ada jika meletakkan namanya (bapa saudara) dalam senarai pembahagian harta. “Malah, Pak Long yang tinggal berhampiran rumah datuk beberapa kali menghantar SMS memaki hamun dan ugutan mengenai datuk kepada ibu saudara,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubang Jela, Manir, di sini, semalam. Sementara itu, mangsa, Muda Mat Zin, 72, yang ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kelmarin berkata, dia tidak menduga anak sulungnya yang tamak harta itu akan berkelakuan seperti binatang selepas dia meletakkan nama anak lain dalam senarai pembahagian tanahnya. Muda yang menghadapi masalah pendengaran kurang jelas berkata, dia dan isterinya kini hidup dalam ketakutan apabila anak lelakinya itu pernah mencederakan mereka beberapa bulan lalu. Menurutnya, meskipun pernah dua kali membuat laporan polis, anak sulungnya pandai bermain kata-kata dan berjanji kepada polis untuk berubah sikap serta memberitahu pihak berkuasa akan menyelesaikan masalah keluarganya secepat mungkin secara harmoni. “Dia (anak sulung) pandai mempengaruhi adik-beradik lain dan orang kampung dengan menyebarkan fitnah saya sering memarahi dan berat sebelah dalam mendidik anak, walhal sebagai bapa naluri saya tidak sebegitu kejam,” katanya.

Awek Ganas

Diseksa kekasih garang
Oleh Sarah Zulkifli sarah@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Awek ganas! Hanya kerana dinasihati kekasihnya supaya menjadi perempuan baik, seorang gadis sanggup membelasah teman lelakinya selepas dia dikatakan tiba-tiba naik angin dan mengamuk dengan memaki serta memukul mangsa di depan khalayak.Dalam kejadian jam 7 malam Rabu lalu, mangsa, seorang penghantar surat berusia 20-an bertemu teman wanitanya itu di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya. Ketika itu, berlaku sedikit perselisihan faham apabila mangsa menegur kelakuan teman wanitanya dan meminta dia berubah sikap kerana didakwa agak garang dan sering memarahinya. Bagaimanapun, segala nasihat mangsa itu dibalas maki- hamun serta kata-kata kesat oleh teman wanitanya selain dia dimarahi di depan orang ramai. Malah, wanita terbabit yang berang dan tidak dapat mengawal perasaan mengamuk dan memukul mangsa membuatkan lelaki berkenaan menanggung aib kerana kejadian itu diperhatikan orang ramai. Menurut sumber, menyedari insiden memalukan itu diperhatikan orang ramai, mangsa segera membawa teman wanitanya itu keluar dari pusat beli-belah berkenaan dan menghantar kekasihnya pulang. “Mangsa menganggap kejadian itu menjatuhkan air muka kerana teman wanitanya langsung tidak menghormatinya, malah sanggup memperlakukan dia sedemikian di depan orang ramai. “Tidak tahan kelakuan wanita itu, lelaki berkenaan segera membawa wanita terbabit keluar dari kompleks berkenaan lalu menuju parkir untuk mengambil motosikal,” katanya. Sumber itu berkata, ketika dalam perjalanan mengambil motosikal, teman wanita lelaki itu masih tidak puas hati dan mengungkit kata-kata nasihat yang diberikan mangsa. “Akibatnya berlaku pertengkaran sekali lagi dan kali ini mangsa diperlakukan lebih kejam apabila teman wanitanya mencakar muka selain menghentak kepalanya dengan topi keledar. “Tidak cukup dengan itu, mangsa turut diketuk dengan komputer riba miliki wanita berkenaan,” katanya. Menurutnya, selepas puas membelasah teman lelakinya, wanita terbabit sekali lagi berang apabila mendapati komputer ribanya rosak dan dia meminta mangsa membayar ganti rugi. “Teman wanita lelaki itu mendakwa mangsa punca komputer riba miliknya rosak dan meminta dia membayar kos atas segala kerosakan. “Namun, mangsa mempersoalkan tindakan teman wanitanya itu dan mendakwa kerosakan berkenaan bukan berpunca daripadanya,” katanya. Sumber itu berkata, mendengar kata-kata itu, wanita terbabit sekali lagi naik angin dan kali ini dia bertindak lebih biadab apabila mengugut mengupah rakan-rakannya supaya merogol ibu dan adik perempuan mangsa. “Selain itu, wanita terbabit merampas kunci motosikal mangsa dan lelaki berkenaan yang takut ugutan dan kejadian yang menimpa dirinya membuat laporan polis,” katanya.Berdasarkan aduan itu, polis menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian terbabit.

Thursday, March 25, 2010

Mangsa Cabul Amuk

Mangsa cabul amuk
Gambar Hiasan
Oleh Sarah Zulkifli dan Mohd Firdaus Ibrahim
KUALA LUMPUR: Tidak tahan ditendang dan dipijak lebih 20 minit, seorang wanita berusia awal 20-an hilang kawalan sebelum mengamuk dengan menyerang lelaki yang mencabul dan memukulnya di sebuah rumah di sini, semalam.Tersentak dengan perbuatan berani wanita itu, lelaki durjana berusia lewat 20-an terbabit kecut perut sebelum melarikan diri. Semuanya bermula kira-kira jam 12 malam di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak, di sini, apabila mangsa yang menumpang di rumah rakannya mendakwa didatangi suspek. Menurut sumber, ketika kejadian mangsa berseorangan di rumah kerana rakannya yang juga pemilik rumah pergi ke kedai serbaneka untuk membeli makanan. “Suspek kemudian berbual dengan mangsa lebih 10 minit di ruang tamu sementara menanti rakannya pulang. "Difahamkan, suspek terpaksa melayan kerenah lelaki itu kerana dia teman baik kepada rakannya,” katanya.Katanya, lelaki itu kemudian mula menggoda mangsa dengan mengeluarkan kata-kata lucah dan menunjukkan isyarat lucah, namun tidak diendahkan. “Selepas pelbagai kaedah itu tidak berkesan, dia memeluk mangsa sebelum meraba tubuhnya terutamanya di kawasan sulit,” katanya. Khuatir berlaku sesuatu yang buruk, mangsa kemudian memarahi suspek sebelum berlaku pertengkaran antara mereka lebih 10 minit. Sumber itu berkata, walaupun suspek menyedari mangsa tidak merelakan maruahnya dipermainkan tetapi dia masih mahu meneruskan niatnya. Mangsa yang hilang pertimbangan menampar suspek menyebabkannya meradang. Lelaki itu kemudian menolak mangsa sehingga terjatuh di lantai sebelum memijak perut dan menendangnya lebih 20 minit. Menurut sumber, biarpun mangsa berulang kali merayu supaya dikasihani, suspek tidak mengendahkannya dan terus melepaskan kemarahannya itu. “Mangsa kemudian berjaya bangun bergegas berlari ke dapur dan mengambil pisau sebelum menyerang suspek dengan senjata itu,” katanya.

Lari Enggan Berkahwin

Lari enggan berkahwin
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak bersetuju dengan pilihan keluarga, seorang gadis berusia 19 tahun nekad melarikan diri dari rumah hanya beberapa bulan sebelum melangsungkan majlis perkahwinannya.Difahamkan gadis terbabit, Norsham Ahamed, 19, menghilangkan diri dari rumahnya di Taman Murni Cheras, Batu 9 di sini, selepas berselisih faham dengan bapanya, Ahamed Sha, 49, pada 10 Februari lalu. Ahamed yang ditemui berkata, Norsham menghilangkan diri dari rumahnya sejak lebih dua bulan lalu selepas berlaku pertengkaran kira-kira jam 9 pagi hari sama. Menurutnya, pergaduhan berlaku apabila dia meminta supaya anaknya itu menjaga bapanya yang uzur di rumah manakala dia dan isteri keluar bekerja.“Mungkin dia berasakan permintaan saya itu sebagai satu bebanan apatah lagi dia menyatakan keinginan untuk berdikari dan bekerja selepas tamat persekolahan,” katanya. Dia berkata, kehilangan anaknya itu hanya disedari apabila mendapati Norsham yang keluar dari rumah kira-kira jam 1.30 tengah hari dengan alasan untuk bertemu rakan tidak pulang. “Dia hanya membawa beberapa helai pakaian ketika keluar dari rumah bagaimanapun MyKad miliknya ada pada saya. Sejurus kehilangannya itu, saya dan isteri berusaha mencarinya di sekitar kawasan perumahan, namun gagal. “Saya tidak pasti punca dia melarikan diri, namun saya berasakan ia ada kaitan dengan majlis perkahwinan yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Mungkin dia berubah hati dan mempunyai pilihan lain yang lebih sesuai dengan hatinya,” katanya. Menurutnya, dia merayu supaya anaknya itu pulang ke pangkuan keluarga segera bagi menyelesaikan masalah itu. “Perselisihan faham kecil itu boleh diselesaikan dan masalah terbabit turut boleh dibincangkan dengan keluarga asalkan dia sudi pulang ke pangkuan keluarga. Saya dan isteri amat merinduinya dan sudi untuk memaafkan kesilapannya itu. "Orang ramai yang pernah melihat atau mengetahui di mana Norsham berada diminta menyalurkan maklumat kepada balai polis berdekatan atau menghubungi talian 03-92835022 03-92835022,” katanya.

Tuesday, March 23, 2010

Warga Bangladesh Biadap

Lelaki Bangladesh cabul di khalayak ramai

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kebiadapan warga asing menjadi-jadi apabila kumpulan terbabit sering mensasarkan wanita tempatan terutama berdahi licin tempat pemuas nafsu.Malah, ada segelintir lelaki Bangladesh dikatakan bukan saja tanpa segan silu memikat wanita tempatan sebaliknya berani mencabul mereka biarpun di hadapan khalayak ramai. Itulah keberanian segelintir lelaki Bangladesh yang bermaharajalela sehinggakan kehadiran mereka menimbulkan ketakutan di kalangan penduduk terutama wanita. Dalam kes terbaru kira-kira jam 12 malam di pangsapuri Manjalara, di sini, semalam, seorang lelaki warga Bangladesh ditahan pihak berkuasa selepas mencabul seorang wanita berusia awal 20-an. Semua bermula apabila mangsa pergi ke kawasan pangsapuri berkenaan untuk mengambil semula barangnya dari rumah yang disewa sebelum ini. Difahamkan, pemilik rumah terbabit menghubungi wanita berkenaan untuk berbuat demikian kerana rumah itu akan disewa penghuni baru. Menurut sumber, mangsa yang berpindah dari rumah terbabit sejak beberapa bulan lalu ditemani rakannya untuk mengambil barang masih ditinggalkan di kediaman berkenaan. “Sebaik mangsa keluar lif, dia dihampiri seorang lelaki warga Bangladesh berusia 30-an manakala rakannya pula menunggu di kawasan tempat letak kereta. “Lelaki terbabit cuba memikatnya, namun mangsa tidak mengendahkan walaupun lelaki terbabit menggunakan pelbagai cara,” katanya. Berang dengan tindakan wanita itu, mat bangla berkenaan terus memeluk sebelum meraba buah dada mangsa.

Bapa Panas Baran

Bapa berang hampir hempas anak ke lantai

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Bapa setan. Itulah gelaran sepatutnya diberikan kepada seorang lelaki yang sanggup menampar dan menumbuk anak perempuannya berusia tujuh tahun hanya kerana kesalahan kecil.Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang di sebuah flat di Setapak di sini, Rabu lalu, lelaki itu pergi menjemput anaknya untuk dibawa ke bank berhampiran rumahnya untuk sesuatu urusan. Sumber itu berkata, kanak-kanak perempuan terbabit enggan mengikutinya menyebabkan lelaki terbabit memarahi mangsa. “Biarpun beberapa kali memujuk anaknya itu, mangsa masih enggan menyebabkan lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan dan menampar mangsa beberapa kali. “Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit mengangkat kanak-kanak itu dan cuba menghempasnya ke lantai di hadapan rumah berkenaan. “Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila ibu mentua yang juga nenek kepada kanak-kanak itu sempat menghalang,” katanya. Difahamkan, wanita terbabit turut meminta agar bekas menantunya itu menggunakan pendekatan baik dalam memujuk kanak-kanak itu. Menurut sumber, bapa mangsa akhirnya berjaya memujuk anaknya itu sebelum kedua-dua mereka keluar dari rumah berkenaan untuk berurusan di bank berhampiran. “Ketika lelaki terbabit keluar berdua dengan anaknya, dia dikatakan tidak berubah sikap dan tidak mengendahkan nasihat bekas mentuanya itu apabila terus memukul mangsa,” katanya. Difahamkan, kekejaman itu hanya disedari nenek dan ibu mangsa selepas kembali ke rumah pada sebelah petang hari sama. Sumber berkenaan berkata, wajah mangsa bukan saja berbirat dipercayai ditampar, malah matanya juga lebam seperti ditumbuk. Ibu mangsa membawa kanak-kanak malang itu membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, sebelum membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut. Difahamkan, kanak-kanak itu kini trauma disebabkan perbuatan kejam bapa kandungnya sendiri.

Monday, March 22, 2010

Bayi Menggigil

IPOH: Menyedihkan apabila seorang bayi yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan menggigil kesejukan ketika hujan lebat selepas ditinggalkan dekat kawasan pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh, di sini, petang kelmarin. Bayi perempuan seberat 2.8 kilogram cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan berdasarkan keadaannya masih bertali pusat ditinggalkan dalam semak di belakang sebuah pasar raya besar, di sini.Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, bayi itu ditemui orang awam yang melalui kawasan berkenaan kira-kira jam 5.30 petang. “Bayi ini dipercayai baru dilahirkan dan ketika dijumpai berada dalam keadaan pucat dan menggigil kesejukan kerana ditinggalkan dalam hujan lebat.
“Bayi ini juga ditemui dalam keadaan lemah akibat ditinggalkan dalam tempoh yang agak lama sehingga tidak mampu menangis,” katanya. Katanya, bayi malang itu dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan untuk rawatan sebelum tindakan lanjut diambil. Bayi itu dilihat mengalami luka dan calar di muka dan kepalanya mungkin akibat dihurung semut. Sementara itu, Timbalan Pengarah HRPB, Dr Rahimi Goon berkata, bayi itu dihantar ke hospital berkenaan kira-kira jam 8 malam. “Pemeriksaan mendapati bayi itu sihat dan tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan dan kini ditempatkan di wad,” katanya selepas melawat bayi berkenaan bersama Pengerusi Lembaga Pelawat HRPB, Datuk Omar Ahmad. Katanya, bayi itu ditempatkan sementara di hospital sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Thursday, March 18, 2010

Tidak Sengaja Langgar Adik

Kakak tidak sengaja langgar adik

Gambar Hiasan

KUALA KRAU - “Lagi along...lagi along,” itulah kata-kata terakhir Nurul Zalia Natasya Zakaria, 9, ketika melihat kakaknya sedang mengundurkan kereta untuk disimpan di garaj depan rumah mereka. Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa dikatakan duduk di kerusi di hadapan rumahnya, kira-kira jam 10 malam ketika keluarganya menonton perlawanan akhir badminton Terbuka Seluruh England antara Malaysia dengan Jepun. Ibu mangsa, Romadiah Mohd Desa, 47, berkata, ketika itu mangsa dikatakan bermain guli dalam rumahnya dan selepas itu mangsa memberitahu untuk mencabut uban. Menurutnya, hanya tiga helai uban dicabut arwah kerana katanya, sudah banyak dan mahu menyambung bermain guli. “Selepas itu, bapanya Zakaria Tahir, 57, menasihati arwah supaya berhenti bermain guli kerana dari pagi sampai malam tidak berhenti bermain permainan itu. Selepas ditegur, kami ingat dia sudah masuk ke dalam bilik. “Kami tidak sedar kerana melihat perlawanan badminton itu dan dia keluar setelah melihat alongnya itu mengundur kereta,” katanya. Ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Desa, di sini, ibunya berkata, pada malam kejadian Zarina melihat adik lelakinya (anak kedua) sedang mencuci kereta di hadapan rumah. Menurutnya, selepas melihat adiknya itu mencuci kereta milik bapanya Zarina pula menyimpan kereta jenis Viva miliknya yang baru dibeli beberapa bulan lalu. “Ketika mengundurkan kereta, tiba-tiba besi penutup longkang terpatah menyebabkan Zarina terpaksa menekan minyak dengan kuat. Ketika itu Zarina tidak perasan dan tidak nampak mangsa duduk di kerusi belakang kereta itu. “Selepas menekan minyak, kereta itu bergerak laju dan melanggar kerusi di belakang namun masih belum menyedari mangsa berada di belakang. Kami yang sedang menonton televisyen terdengar bunyi kereta itu yang melanggar kerusi dan bergegas melihat apa yang berlaku. “Selepas itu, kami terkejut melihat mangsa terkulai layu di belakang akibat perlanggaran tersebut. Kami segera mengambil mangsa dan membawanya ke klinik berdekatan,” katanya. Romadiah berkata, apabila sampai di klinik, pegawai perubatan memberitahu Nurul Zalia Natasya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. Menurutnya, semasa kejadian itu mangsa dikatakan duduk bersila di atas sofa dan dipercayai terhantuk di kepala ketika tunduk untuk mengambil gulinya yang terjatuh di bawah kerusi itu. Mangsa adalah murid Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan Kuala Krau dan anak kelapan daripada sembilan adik-beradik. Dia juga seorang anak periang, rajin belajar serta disayangi ahli keluarga. Sebelum mangsa meninggal dunia, kakaknya sempat menunaikan hasrat mangsa untuk berkelah di Gambang Water Park dengan menaiki kereta barunya itu. Romadiah berkata, dia tidak menyangka anaknya itu pergi buat selama-lamanya kerana dia tidak mendapat sebarang petanda atau mimpi berkenaan mangsa sebelum meninggal dunia. “Apa yang pelik mengenai arwah ialah dia sangat berselera makan sejak seminggu lalu dan badannya pula cepat naik. “Adik-beradiknya lain hairan melihat dia begitu berselera ketika makan. Selain itu, dia juga rajin pergi mengaji bersama abangnya,” katanya. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, setelah kakak mangsa mendapati tiada sesiapa di belakang keretanya, Zarina mengundurkan keretanya itu ke dalam garaj depan rumahnya. Menurutnya, semasa mengundur pemandu kereta itu terasa terlanggar sesuatu di belakang dan terus menghentikan keretanya itu. “Setelah memberhentikan kereta dan keluar melihat apa yang berlaku, dia mendapati melanggar adiknya secara tidak sengaja,’ katanya.

Kebakaran Kecil



Monday, March 15, 2010

Ubat Kuat

Gambar Hiasan
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
KUALA LUMPUR: Kemaruk mengambil ratusan jenis pil rangsangan seks semata-mata untuk menjadi ‘jaguh marathon’ di ranjang menyebabkan seorang lelaki akhirnya ditinggalkan isteri yang tidak tahan melayan nafsu melampau suaminya itu yang dianggap gila seks. Lebih menyeksakan apabila lelaki berkenaan akhirnya menderita apabila racun kimia berbahaya daripada pil perangsang ditelannya turut mengakibatkan saluran darah pada kemaluannya membengkak selain menyebabkan zakarnya menjadi bengkok. Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Tapa, 40, berkata dia mula mengambil pil perangsang seks sejak zaman remaja sekitar lewat 90-an selepas terjebak dengan seks bebas dengan beberapa teman wanita. Ketika itu, dia mendakwa mempunyai ramai teman wanita yang dikenalinya ketika bekerja di sebuah kilang elektronik di Sungai Way, dekat sini. “Mungkin kerana kerap melakukan hubungan seks haram ketika itu saya memberanikan diri mencuba pelbagai kaedah tradisional seperti gambir Sarawak, minyak lintah, rebusan cula buaya dan pelbagai pil jamu perangsang nafsu,” katanya, ketika ditemui wartawan Harian Metro semalam. Dia yang kini bekerja sebagai penjual kasut di pasar malam di sekitar ibu kota mendakwa, pelbagai kaedah sampingan turut dicuba antaranya melakukan urutan batin oleh bomoh pada alat kemaluannya bagi memastikan ia mampu memberi daya juang tinggi di ranjang. “Saya ketika itu betul-betul ketagih seks, malah adakalanya sanggup melakukan onani dalam tandas lebih tiga kali sehari untuk memenuhi kepuasan batin,” katanya. Menurutnya, atas desakan keluarga, dia akhirnya mengambil keputusan berumah tangga dengan gadis pilihan orang tuanya yang juga sepupunya pada 2006. “Walaupun usia saya ketika itu menjangkau 35 tahun, saya akur dengan permintaan keluarga demi menjaga hati ibu yang sudah uzur. Bagaimanapun isteri tidak dapat menghidu tabiat gila saya kerana saya banyak mendiamkan diri ketika awal perkahwinan. “Namun selepas beberapa bulan berkahwin, nafsu saya kembali tidak terkawal dan dia menjadi tempat saya melepaskan keinginan tidak kira siang atau malam. Walaupun ada yang tidak percaya, namun saya mampu mencapai eraksi sehingga lima kali sehari,” katanya. Menurutnya, bagi memenuhi tuntutan selera luar biasanya itu, dia gemar membeli pil perangsang seks termasuk Viagra tiruan daripada penjual produk seks kaki lima terutama di sekitar Chow Kit, di sini. “Kebanyakan pil perangsang seks terbabit mampu membuatkan kelakian saya menjadi ‘kuat’ bagi tempoh antara dua hingga empat hari tanpa menunjukkan tanda-tanda layu. “Akibatnya saya menjadikan isteri sebagai bahan eksperimen untuk menguji pil perangsang seks berkenaan. Walaupun dia kerap kali menolak akibat tertekan, namun saya sering gagal mengawal perasaan,” katanya. Akibatnya, mereka kerap bergaduh dan pernah beberapa kali dia berkasar dan menggunakan kekerasan untuk memaksa isterinya melakukan hubungan seks. “Saya tahu tindakan saya melampau dan tidak wajar sebagai suami, namun pil perangsang seks yang dimakan berulang-ulang kali itu tidak ubah seperti candu dadah yang menyebabkan saya ketagihan melakukan seks. “Malah jika nafsu saya tidak dilayan, saya sanggup pergi ke rumah pelacuran atau melanggan pondan,” katanya Tapa berkata, rumah tangganya yang retak menanti belah akhirnya gagal diselamatkan apabila isterinya bertindak melarikan diri pada awal Januari lalu. “Saya pernah memujuknya untuk kembali namun, `S’ hanya meminta dia diceraikan segera atas alasan tidak berupaya untuk memenuhi keinginan melampau saya,” katanya. Pada masa sama, dia turut menunjukkan contoh beberapa produk rangsangan seks haram yang didakwa berbahaya dan memberi kesan jangka panjang kepada kesihatannya. “Mungkin kerana terlalu kerap mengambil pil perangsang seks haram, saya kerap berasa kebas, berdenyut dan sakit pada alat kemaluan hingga tidak dapat tidur dan membuang air kecil. “Urat pada kemaluan mula menonjol keluar dan kemaluan saya menjadi bengkok dipercayai akibat tekanan darah berlebihan. Lebih memeritkan apabila ubat rangsangan seks itu sudah tidak lagi berkesan sebaliknya menyebabkan saya kini menderita mati pucuk,” katanya kesal dengan perbuatannya pada masa lalu. Menurutnya, dia kini menyesal dengan apa yang dilakukan dan sudah meninggalkan tabiat memakan pil perangsang seks haram terbabit sejak sebulan lalu atas nasihat doktor dan keluarga.

Lahir Anak Luar Nikah Kali Kedua

Tidak insaf lahir anak luar nikah kali kedua

Gambar Hiasan

ALOR STAR: Pengalaman kali pertama melahirkan anak luar nikah tidak menginsafkan seorang wanita berusia 20 tahun, sebaliknya dia terus bergelumang dosa dan mengandung anak luar nikah buat kali kedua. Lebih mengejutkan, ketika pasukan perubatan berkejar ke kediamannya di sebuah kawasan perumahan di Mergong di sini, petang semalam, dia masih sempat berdandan dan memakai alat solek di depan cermin. Malah, ibu bapanya juga dilihat tidak berasa malu ketika pasukan perubatan dari sebuah hospital di bandar raya ini tiba di rumah mereka untuk mengambil anaknya yang sakit untuk bersalin walaupun disaksikan ramai jiran.Sumber berkata, wanita terbabit dipercayai ‘ketua keluarga’ dan berperanan menjaga ibu bapanya menyebabkan mereka tidak berani ‘bersuara’ untuk menghalang perbuatan mungkar itu. Menurutnya, ini kerana bapanya didapati hanya terbaring di bilik akibat menghidap pelbagai penyakit. “Namun, yang menjadi persoalan, bagaimana bayi yang bakal dilahirkan itu dibesarkan sama ada diserahkan secara percuma atau ‘berbayar’ kepada pihak lain.
“Ini kerana anak pertama yang dilahirkan lebih setahun lalu juga tidak kelihatan sebaliknya dipercayai diserahkan kepada orang lain,” katanya.

Friday, March 12, 2010

Pukau

Saya dipukau
Oleh Siti Nor Hidayah Razali

KOTA BHARU: “Saya macam dipukau dan hanya menurut perintahnya,” dakwa Hussin Mat Salleh, 54, yang menikahkan anak perempuannya, Siti Nur Zubaidah, 11, untuk dijadikan isteri keempat seorang rakan jemaahnya di sebuah madrasah berhampiran Masjid Besar Machang pada 19 Februari lalu.

RINDU...Hussin dan isteri, Siti Sarnan Mat Ali menunjukkan gambar Siti Nur Zubaidah. Hussin berkata, dia baru mengenali rakan jemaahnya yang berusia 41 tahun itu, tiga hari sebelum berlangsungnya pernikahan berkenaan.

“Dia kata ini ikut sunnah Nabi, jadi saya setuju saja tanpa sempat berfikir panjang,” katanya.Sehari selepas majlis pernikahan itu yang tidak dihadiri Siti Nur Zubaidah, katanya, dia bersama ‘menantunya’ itu pulang ke rumahnya di Kampung Jelawang, Dabong, Kuala Krai untuk membawa anaknya ke rumah isteri kedua lelaki itu. Hussin berkata, pada mulanya Siti Nur Zubaidah enggan menurut perintah dan menangis tidak mahu mengikut 'suaminya'."Bagaimanapun, selepas dipujuk dan berjanji akan pulang pada hari yang sama, dia menurut perintah dan keluar dari rumah pada 20 Februari lalu. “Bagaimanapun, sehingga kini dia belum pulang selepas dibawa ‘suaminya’ dan kami tidak tahu di mana Siti Zubaidah. Saya memohon agar dia dikembalikan kerana Siti Nur Zubaidah terlalu muda dan masih belajar,” katanya.Hussin berkata dia akan berusaha menjejaki anak kedua daripada enam beradik itu dan cuba mendapat bantuan pelbagai pihak untuk membawanya kembali ke pangkuan keluarga.“Sekiranya ada sesiapa yang menjumpai atau ternampak Siti Nur Zubaidah bolehlah menghubung saya di talian 013-2272755 013-2272755,” katanya. Berikutan itu, Hussin membuat permohonan mufarakah (dipisahkan) di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, pada kira-kira jam 4 petang semalam bagi membolehkan pasangan terbabit dipisahkan sementara.Katanya, tuntutan mufarakah itu difailkan berikutan pernikahan Siti Nur Zubaidah dengan lelaki itu belum diketahui status sama ada sah atau sebaliknya. Sementara itu, Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu, Abu Bakar Abdullah Kutty mengesahkan ibu bapa Siti Nur Zubaidah membuat tuntutan mufarakah di mahkamah bagi mengasingkan anak perempuan mereka dengan ‘suaminya’. Katanya, siasatan lanjut akan dilakukan dan jika disabit kesalahan, seseorang sama ada bapa atau ‘suami’ Siti Zubaidah boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam 2002 Mahkamah Tinggi Syariah.Peruntukan mengikut enakmen terbabit membolehkan individu didenda sehingga RM1,000 atau enam bulan penjara. “Perkahwinan kanak-kanak di bawah umur 16 tahun sepatutnya didaftarkan di mahkamah terlebih dulu dengan mengemukakan alasan kukuh. “Sekiranya siasatan mendapati perkahwinan kanak-kanak itu ada unsur paksaan atau kepentingan, kita akan mengambil tindakan,” katanya.

Nasib Kedi

Kedi malang
Oleh Mohd Firdaus Ibrahimm

KUALA LUMPUR: Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Itulah perumpamaan tepat bagi menggambarkan nasib malang lebih 80 kedi sepenuh masa dan sambilan di sebuah kelab golf terkemuka di sini, yang tidak dibenarkan bekerja, sejak Isnin lalu. Difahamkan, tindakan itu diambil pihak pengurusan kelab golf itu kerana mereka mula menggaji kedi wanita terdiri daripada warga asing kebanyakannya rakyat Indonesia sehingga mengenepikan pekerja tempatan. Bertambah malang apabila kebanyakan semua kedi terbabit mendakwa dipaksa menandatangani kontrak yang dikatakan berat sebelah sehingga menjejaskan pendapatan. Ketua kedi, Heddenie Daud, 44, berkata kontrak terbabit dibuat seolah-olah mahu mengarahkan semua kedi berhenti kerja. “Mana tidaknya, biarpun kami tidak setuju mengenai tawaran itu, mereka (pihak pengurusan) terus memaksa supaya berbuat demikian. “Tindakan mereka itu seperti mahu kami menarik diri atau berhenti bekerja. Jadi mudahlah mereka meneruskan niat menggaji pekerja wanita warga Indonesia. “Kenapa mereka (pihak pengurusan) mengutamakan warga asing sedangkan ada antara kami yang berkhidmat lebih 20 tahun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Menurutnya, tawaran gaji dalam kontrak itu juga lebih rendah daripada gaji sebelum ini. “Jika dulu, purata pendapatan kami kira-kira RM1,150 sebulan dan sejak kontrak itu diperkenalkan kami hanya mampu mendapat RM900 saja. “Lagipun, gaji kami bukanlah dibayar pihak pengurusan sebaliknya dijelaskan ahli kelab,” katanya. Seorang lagi kedi, Mohd Azrin Abd Rahim, 30, berkata pihak pengurusan sepatutnya berbincang terlebih dulu mengenai isi kandungan kontrak berkenaan bagi mengelak ketidakpuasan di kalangan pekerja. “Ini tidak, mereka main belasah saja tanpa mengambil kira pendapat dan pandangan kami. Kami semua kini boleh seperti ‘pengemis’ di negara sendiri. “Mana tidaknya, empat hari kami tidak dibenarkan bekerja. Macam mana kami nak sara keluarga,” katanya. Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan kelab golf terbabit juga gagal berikutan keengganan mereka menemui wartawan selain menjawab panggilan telefon.

Diserang Geng Gores

Serangan sindiket gores
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, patah dua jari tangan kanan manakala pekerjanya menerima beberapa jahitan pada bahagian belakang selepas dibelasah sekumpulan 20 lelaki ketika mereka cuba berunding dengan ahli sindiket gores dan menang.

TAHAN...ahli sindiket yang ditahan, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam kelmarin di sebuah bangunan rumah kedai di Metro Prima, Kepong di sini, Nadzim dan pekerjanya mendakwa dibelasah lebih 15 minit oleh kumpulan terbabit yang bersenjatakan pedang samurai, pisau, besi dan cota.Difahamkan, Nadzim dan pekerjanya itu pergi ke premis terbabit bersama seorang warga emas berusia 60-an yang mahu menuntut wang RM6,000 bagi menebus barang kemas mangsa yang digadaikan ahli sindiket itu. Menurut Nadzim, dia dan pekerjanya pergi ke premis terbabit untuk berunding selain mendapatkan semula wang mangsa. “Saya ke sana bersama mangsa dan dua orang anaknya serta pembantu, namun setibanya di premis itu seorang lelaki berusia 30-an enggan mengaku mengenai kegiatan gores dan menang yang didalanginya lalu mengarah kami pulang. “Kami cuba berlembut dengannya dan suspek mengarahkan kami masuk ke sebuah bilik untuk berunding. Ketika itu suspek memberi amaran dan mengugut mencederakan kami sekiranya tidak meninggalkan premis terbabit dengan segera,” katanya ketika ditemui, semalam. Memandangkan Nadzim bertegas meminta wang itu dipulangkan, suspek menghamburkan kata-kata kesat menghalaunya hingga berlaku pertikaman lidah menyebabkan dia ditumbuk. “Pada masa sama, suspek menjerit memanggil rakannya dipercayai tonto dan datang menyerang kami bersenjatakan pedang samurai, pisau, besi dan cota. “Kami yang dibelasah hanya mampu mempertahankan diri dan berserah kepada nasib kerana pintu premis terbabit dikunci menyebabkan kami gagal melarikan diri,” katanya. Nadzim berkata, dia dan pekerjanya, Afif, 20, dibelasah hampir 15 minit menyebabkan dua jari tangan kanannya patah manakala pekerjanya cedera pada bahagian belakang akibat ditoreh dengan pisau. "Mangsa sempat menghubungi polis. Menyedari ketibaan polis, beberapa ahli sindiket itu melarikan diri membawa senjata yang digunakan,” katanya. Pihak berkuasa tiba kira-kira lima minit kemudian memberkas 10 lelaki termasuk dalang sindiket itu. Nadzim dan pekerjanya diarahkan membuat laporan di Balai Polis Sentul di sini, untuk membantu siasatan sebelum dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), mendapatkan rawatan susulan.

Thursday, March 11, 2010

Keselamatan Kanak-Kanak

Guru, 3 murid tadika diserang lelaki kurang siuman

BERDARAH...keadaan bilik darjah tadika dengan kesan darah mangsa apabila diserang seorang lelaki tidak dikenali dipercayai kurang siuman mengakibatkan
seorang guru dan tiga murid cedera, hari ini.
MUAR: Tiga murid dan seorang guru tadika cedera parah selepas diserang dengan tukul besi oleh seorang lelaki dipercayai tidak siuman dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi di sebuah tadika di Lorong Haji Ali, Jalan Abdul Rahman, di sini hari ini. Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata Nur Nadrah Nabila Mohd Yusri, 6, dan Alex Tan Kar Eik, 6, mengalami keretakan di bahagian kepala manakala seorang lagi murid Vincent Tey Hui Seng, 6, dan guru Boon Kiun Sew, 45, mengalami kecederaan di badan. "Kesemua mangsa dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini dan keadaan mereka dilaporkan stabil," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau berkata kejadian itu berlaku ketika 60 murid tadika berkenaan sedang menikmati sarapan pagi. "Seorang lelaki bertopi keledar dan memakai pakaian serba hitam telah menceroboh tadika berkenaan dengan memanjat pagar lalu memukul guru wanita terbabit menggunakan tukul besi sebelum memukul bahagian kepala tiga orang kanak-kanak," katanya.

Wednesday, March 10, 2010

Anak Remaja Liar

'Anggap dah mati'
Gambar Hiasan
Oleh Hamizah Badiran
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Gara-gara tidak puas hati selepas dimarahi orang tua, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun tergamak lari dari rumah dengan melompat turun melalui saluran paip rumahnya pada bahagian anjung. Mimi Noraffiza Nor Affendy, lari dari rumah keluarganya di Jalan Jelatik, dekat sini, kira-kira jam 3 pagi Ahad lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga kini. Ibunya, Fariza Muhamad Shahrom, 33, berkata Mimi sudah tidak mahu bersekolah jadi dia ditugaskan menjaga adiknya yang masih bersekolah di rumah sementara dia dan suami bekerja.
“Disebabkan dia sering bersendirian di rumah, saya tidak tahu dengan siapa dia berkawan dan kemungkinan besar dia mula bergaul dengan ‘budak liar’ di sekitar kawasan rumah kami,” katanya. Beliau menyedari kehilangan Mimi selepas melihat anaknya tidak berada di bilik pada jam 4 pagi ketika hendak memberi susu kepada anak bongsunya yang tidur sebilik dengannya.
“Dia tutup bantal dengan selimut sebagai helah supaya saya tidak menyedari ketiadaannya dan dia juga sempat meninggalkan nota mengingatkan saya jangan mencarinya serta anggap saja dia sudah mati. “Mimi turut menyatakan kami tidak menyayanginya kerana dia kerap dimarahi,” katanya yang baru mengambil Mimi dari jagaan mentuanya di Gemencheh, Negeri Sembilan, setahun lalu. Menurutnya, anak sulung daripada lima beradik itu juga sempat menelefon kawan rapatnya dan memberitahu seorang lelaki bekerja sebagai tentera akan datang mengambilnya di stesen LRT Setiawangsa. Bimbang keselamatan anaknya dilarikan lelaki tidak dikenali, bapanya, Nor Affendy A Rahman, 36, yang juga tentera berpangkat koperal membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak pada jam 4.30 pagi hari kejadian. Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Mimi boleh menghubungi Nor Affendy di talian 019-7179272 019-7179272 atau 017-3348570 017-3348570.

Pernikahan Tidak Sah

'Kami ingat nikah sah'
Oleh Wan Noriza Meor Idris
wannoriza@nstp.com.my
KUALA LUMPUR: Selepas 11 tahun hidup berumah tangga dan dikurniakan empat anak, pasangan suami isteri berusia 61 dan 38 tahun baru menyedari perkahwinan mereka yang disangkakan sempurna tidak sah berikutan dikendalikan jurunikah tidak bertauliah. Berikutan itu, pasangan berkenaan yang menetap di Taman Melati di sini berdepan masalah apabila empat anak mereka sukar mendapatkan sijil kelahiran, sekali gus menyebabkan kanak-kanak itu tidak boleh bersekolah. Risaukan masa depan anak berusia 10, 8, 6 dan 5 tahun itu tanpa pendidikan, pasangan berkenaan meminta bantuan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Melati, Babul Abbas Abd Aziz. Suami berkenaan berkata, perkahwinannya dikendalikan seorang jurunikah di Perak. Bagaimanapun, ketika itu dia tidak menyedari lesen jurunikah terbabit tamat tempoh.
“Selepas beberapa tahun berkahwin, saya menyedari lesennya (jurunikah) sudah ‘mati’ (tamat tempoh) dan cuba bertemunya, tetapi jurunikah terbabit sudah meninggal dunia. “Pada awalnya saya tak ambil berat mengenai hal itu kerana malu serta mahu menjaga maruah, tapi apabila mendapati anak saya tidak boleh bersekolah tanpa sijil kelahiran disebabkan status perkahwinan kami, saya terus menyuarakan masalah ini kepada Babul yang meminta bantuan Pengerusi MCA Wangsa Maju, Datuk Yew Teong Look,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam. Selepas mendapat bantuan Yew, nasib menyebelahi pasangan suami isteri itu apabila keempat-empat anak mereka kini mendapat sijil kelahiran serta boleh bersekolah, namun status perkahwinan itu masih tidak sah di sisi undang-undang. Yew berkata, pihaknya yang prihatin terhadap nasib anak pasangan itu yang tidak bersekolah mendapatkan bantuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan mengemukakan permohonan sijil kelahiran yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). “Saya terkejut apabila menerima laporan mengenai pasangan ini dan prihatin dengan nasib anak mereka. Usaha hampir setahun membuahkan hasil dan semua kanak-kanak itu kini mempunyai sijil kelahiran. Kami akan mendaftarkan mereka bersekolah di sekolah berdekatan, esok.
“Namun, pasangan itu masih perlu menguruskan status perkahwinan mereka yang tidak sah dengan mengemukakannya ke Mahkamah Tinggi Syariah bagi menyelesaikan masalah itu secepat mungkin,” katanya.

Tuesday, March 9, 2010

Maut Dilanggar Suami

Maut akibat dilanggar kereta suami
Gambar Hiasan
GENTING HIGHLANDS – Kegembiraan lapan sekeluarga bertukar tragedi apabila salah seorang ahli keluarga maut dalam kemalangan berhampiran Kilometer 21 Jalan Genting Highlands dekat sini, awal pagi kelmarin. Ketua Polis Daerah, Superintendan Rosli Abdul Rahman berkata, keluarga terbabit dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands dan tiba di lokasi itu, kereta Iswara dipandu dipercayai terbabas kemudian masuk ke dalam longkang di tepi jalan. Menurutnya, mereka sekeluarga bertindak mengangkat kereta terbabit ke atas jalan dan secara tiba-tiba kereta itu bergerak lalu terlanggar seorang wanita yang juga isteri kepada pemandu terbabit. “Akibat kejadian itu, wanita terbabit cedera parah di kaki kiri dan kemudiannya dalam perjalanan ke hospital, mangsa meninggal dunia. “Mayat mangsa kemudian di bawa ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat dan hasil bedah siasat mendapati, mangsa mati mengejut akibat kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Beliau berkata, kejadian itu boleh dijadikan iktibar kepada semua pemandu supaya sentiasa berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.: Beliau berkata, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak supaya tidak sesekali berada di hadapan atau belakang kenderaan ketika kenderaan sedang bergerak atau berada di lereng bukit.

Ketagih Air Bomoh

Air sihir tok bomoh
Oleh Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my
SUNGAI PETANI: Seorang wanita hanya mahu mendapatkan pelaris daripada seorang bomoh untuk memajukan restorannya.

TERKENA...Hussin dan Aini menceritakan pengalaman mereka kepada wartawan.

Dia diberikan sebotol air untuk diminum kononnya bagi mendapatkan penarik bagi membantu melariskan perniagaannya sebelum ketagih meminum air jampi berkenaan. Suaminya yang juga seorang guru mendakwa, berikutan ketagih air jampi, isterinya seolah-olah dipukau sehingga merelakan dirinya dicabul bomoh berusia lewat 50-an terbabit. Kemuncaknya, si isteri yang terkena ilmu hitam sanggup meminta cerai. Guru berusia 40-an yang hanya mahu dikenali sebagai Hussin mendakwa bomoh terbabit juga mengambil kesempatan mengurut tubuh isterinya yang dalam keadaan tidak berbaju, kononnya untuk menjalani rawatan bagi menjarakkan kelahiran. Malah, bomoh itu juga sanggup memperkenalkan isterinya sebagai teman wanitanya kepada orang lain. Menurutnya, detik hitam itu bermula pada Julai tahun lalu apabila dia bersama isteri, Aini, 40, diperkenalkan kepada warga emas terbabit oleh sepupu mereka. “Ketika itu restoran yang diusahakan isteri bermasalah dan sepupu saya menawarkan bantuan dengan memperkenalkan kami kepada bomoh terbabit untuk mendapatkan pelaris,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam. Katanya, tanpa rasa gusar, mereka bersetuju berjumpa bomoh terbabit dan beberapa hari selepas itu Aini yang ditemani sepupu sekali lagi pergi ke rumah bomoh terbabit kira-kira satu kilometer dari rumah mereka.
“Saya tak terfikir langsung dia ada niat jahat, apatah lagi perwatakannya seperti orang alim dan baik hati,” katanya. Hussin yang juga bapa empat anak berkata, kerana tidak mengesyaki apa-apa, dia tidak menemani isterinya dan difahamkan ketika proses ‘rawatan’ Aini diberi sebotol air untuk diminum kononnya bagi mendapatkan daya penarik bagi membantu melariskan perniagaannya. Katanya, pada waktu itu bomoh terbabit mencadangkan isterinya menjalani rawatan urutan bagi menjarakkan kelahiran. Sementara itu, Aini mendakwa jika air jampi itu habis, dia dikehendaki kembali semula ke rumah bomoh terbabit untuk menambah air.
“Saya mengesyaki dia meminta saya berbuat demikian kerana mahu saya selalu ke rumahnya. Walaupun pelik dengan permintaannya itu, saya tetap kembali semula ke rumahnya kerana seperti rindukannya,” katanya. Aini berkata, dia juga tidak menolak ketika bomoh itu mahu mengurutnya dan rela membuka baju untuk diurut. Malah, ketika memberi rawatan, isteri dan anak bomoh itu turut berada di rumah berkenaan. Katanya, ketika berurut, dia diminta masuk ke bilik bersama bomoh itu. “Dia juga tidak memberi kain lain selepas meminta saya membuka baju, jadi saya terpaksa menutup bahagian tertentu dengan baju. Saya pelik kerana biasanya lelaki tidak dibenarkan mengurut wanita. “Saya tahu bomoh itu tidak wajar berbuat begitu, tapi entah kenapa saya merelakannya. Malah, saya rasa tidak bersalah kerana beberapa pelanggan lain bomoh itu yang berada di situ meyakinkan apa yang saya lakukan itu betul,” katanya.
Aini berkata, selepas mendapatkan rawatan bomoh itu, dia mula mengabaikan tanggungjawabnya terhadap suami dan anak-anak sehingga kemuncaknya dia meminta cerai daripada Hussin selepas mereka bergaduh pada 12 September tahun lalu. Menurut Hussin, dia yang terkejut dengan tindakan isterinya itu berjumpa bomoh terbabit bagi menceritakan masalah mereka. “Saya terkejut kerana isteri tiba-tiba minta diceraikan walaupun pergaduhan kami hanya perkara kecil. Saya memanggil bomoh itu ke rumah bagi menceritakan masalah kami,” katanya. Hussin berkata, dia mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena apabila bomoh itu mendakwa isterinya sudah tidak menyayanginya lagi dan menasihatinya menceraikan Aini dengan talak satu. Berikutan itu, dia bertanyakan isterinya sama ada mempunyai hubungan dengan lelaki lain sebelum terkejut apabila isterinya menunjukkan bomoh itu lelaki dimaksudkan. “Saya sudah mengeluarkan parang dan ikutkan hati mahu membunuh bomoh terbabit, tetapi mujur saya masih waras. Saya menyuruh dia pulang dan mula mengesyaki isteri ‘dikenakan’ bomoh itu,” katanya. Mereka kemudian menemui beberapa tokoh agama di Kulim, Sungai Lalang dan Bandar Perdana di sini dan mereka mengesahkan isterinya terkena sihir bomoh terbabit. “Saya tak pernah percayakan bomoh, tapi apabila melihat sendiri kesannya saya terpaksa percaya. Saya hanya menganggap bomoh itu sebagai rakan dan abang kerana kami rapat, tak sangka pula dia mengambil kesempatan. “Saya lega kerana selepas rawatan itu, isteri semakin pulih walaupun bomoh terbabit masih cuba ‘menganggu’ kami,” katanya.
Berikutan itu, Hussin dan Aini membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda mendakwa dicabul bomoh terbabit.

Monday, March 8, 2010

Mati Langgar Lembu

Mati lembu melintas
Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
RAWANG: Gara-gara seekor lembu melintas di lebuh raya, tiga kenderaan terbabit kemalangan menyebabkan seorang maut dan lima lagi cedera di Kilometer 445, Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran susur keluar Rawang, awal pagi semalam.
ANGKAT...anggota polis mengangkat mayat wanita yang maut dalam kemalangan di hadapan SMT Teknik Sungai Buloh, semalam.

REMUK...kereta Perodua Viva yang terbabit merempuh lembu di Lebuhraya Utara-Selatan dekat susur keluar Rawang arah utara, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, lembu susu seberat 100 kilogram itu turut mati.
Ketika kejadian, ternakan itu dikatakan melintasi lebuh raya di laluan laju sebelum dirempuh sebuah kereta BMW 5 Siri dari arah Kuala Lumpur dipandu seorang lelaki berusia 40-an menyebabkan lembu itu terpelanting sejauh tujuh meter ke kiri lebuh raya. Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata akibat rempuhan itu kereta terbabit gagal dikawal sebelum terbalik. Pada masa sama, katanya, sebuah kenderaan pacuan empat roda Nissan Frontier dinaiki tiga lelaki berusia 30-an terlanggar pembahagi jalan dalam cubaan mengelak kereta BMW yang terbalik itu.
“Selepas itu, sebuah lagi kereta, iaitu Perodua Viva gagal mengelak sekali lagi melanggar lembu berkenaan hingga menyebabkan penumpang di tempat duduk sebelah kiri parah dan maut di tempat kejadian. “Mangsa seorang pesara berusia 55 tahun. Mayatnya yang tersepit dikeluarkan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Rawang. “Lembu itu juga mati serta-merta di tempat kejadian akibat rempuhan kedua itu,” katanya. Bagaimanapun, katanya, pemandu kereta BMW, pemandu kenderaan pacuan empat roda serta dua penumpang dan pemandu kereta Perodua Viva hanya cedera ringan. Difahamkan, kemalangan itu turut menyebabkan lebuh raya itu mengalami kesesakan luar biasa lebih sejam sebelum tempat kejadian dibersihkan Plus Expressways Berhad (Plus). Dalam kejadian berasingan kira-kira jam 7.25 pagi semalam, seorang pekerja kantin Sekolah Menengah Teknik (SMT) Sungai Buloh maut dirempuh lori satu tan tanpa muatan ketika melintas jalan di hadapan sekolah itu. Mangsa, seorang wanita warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Mistijah, 32, mati di tempat kejadian kerana parah termasuk kepalanya hampir pecah. “Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk dibedah siasat. Difahamkan, mayat mangsa sudah dituntut suaminya. “Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis meminta kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. Menurutnya, polis turut merayu supaya individu yang mempunyai binatang ternakan tidak melepaskan sesuka hati tanpa pengawalan bagi mengelak tragedi sama berulang.

Sunday, March 7, 2010

Terjun Hotel Separuh Bogel

Terjun hotel separuh bogel

Gambar Hiasan

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

GEORGETOWN: Seorang bakal jururawat di sebuah kolej yang hanya memakai coli dan seluar dalam yang ditutupi tuala, sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan terjun melalui tingkap sebuah bilik hotel bagi melarikan diri daripada mengelak dicekup kerana berkhalwat dengan kekasihnya dalam satu operasi cegah maksiat di Batu Feringghi di sini, semalam. Jururawat berusia 20-an itu yang kini menuntut di Kedah, bertindak demikian selepas tersentak dengan kehadiran sepasukan pegawai penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang membuat pemeriksaan di hotel penginapannya. Dia yang menyedari kehadiran pegawai penguat kuasa agama terus memanjat tingkap bilik dan terjun pada ketinggian lima meter diikuti teman lelakinya beberapa minit kemudian yang hanya berseluar. Ketua Unit Operasi JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, dalam operasi di sekitar pusat bandar, Batu Ferringhi dan juga Seberang Prai mulai jam 10 malam hingga 10 pagi itu, 60 orang atau 30 pasangan kekasih ditahan atas kesalahan berkhalwat dan berkelakuan kurang sopan di tempat awam. Beliau berkata, pihaknya memeriksa buku pendaftaran masuk hotel dan mendapati beberapa pasangan beragama Islam mendaftar masuk di hotel berkenaan. Katanya, ketika pemeriksaan di sebuah bilik, seorang wanita yang berseluar dalam dan coli yang menutup badan dengan tuala memanjat tingkap sebelum terjun untuk melarikan diri ke belakang hotel.
“Pegawai penguat kuasa agama cuba memberkas wanita itu tetapi gagal dan dia menyembunyikan diri, namun selepas pencarian selama lebih satu jam, dia ditemui dalam belukar dengan kecederaan di kaki. “Pasangannya turut ditahan dan pemeriksaan menemui kondom yang sudah digunakan dalam poket seluar lelaki berkenaan serta beberapa kondom yang belum digunakan,” katanya. Khairul Azman berkata, dalam pemeriksaan itu juga 11 pasangan kekasih turut ditahan di hotel sama dan mereka dibawa ke Balai Polis Batu Feringghi untuk laporan tangkapan. Katanya, turut ditahan 15 pasangan kekasih atas kesalahan berkelakuan kurang sopan di tempat awam di kawasan Persiaran Gurney, Pantai Seagate, Queensbay dan kawasan Rehat dan Rawat Bagan Ajam dan mereka diberi notis saman.

Saturday, March 6, 2010

Masyarakat Tak Kisah Maksiat

Masyarakat tak kisah maksiatGambar Hiasan

Oleh Hamizah Badiran

am@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Kurangnya peranan ibu bapa dalam institusi kekeluargaan dan pembabitan masyarakat adalah antara punca pelbagai masalah sosial seperti penderaan kanak-kanak secara fizikal atau seksual, kes sumbang mahram dan pembuangan bayi. Pengerusi Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata nilai murni seperti sikap bertanggungjawab menjadi nadi utama yang perlu dipupuk dalam diri setiap individu supaya mereka tahu kesan dan akibat sebelum melakukan sesuatu perkara yang boleh dikategorikan sebagai jenayah. “Pada ketika ini, saya begitu runsing dengan kes penderaan anak dan pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi dilakukan individu tidak bertanggungjawab.
“Kanak-kanak memerlukan kasih sayang, pendidikan sempurna, hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bersih bagi memastikan mereka membesar untuk menjadi insan berguna,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-23 Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana (SKTN), Ampang, di sini, semalam. Katanya, bagi membendung masalah itu dari terus berleluasa, pihak berkuasa diakui menggalas tanggungjawab untuk melaksanakannya, tetapi mereka hanya akan bertindak selepas masalah itu terjadi. “Justeru itu, pembabitan masyarakat dilihat amat penting kerana mereka boleh bertindak sebagai ejen penghubung bagi melaporkan kes seperti ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku. “Kebanyakan masyarakat tidak mahu mengambil tahu apatah lagi menegur sekiranya ada di kalangan jiran atau penduduk di kawasan sekitar penempatan mereka melakukan penderaan dan maksiat lalu mendatangkan masalah di kemudian hari dan mangsa seperti kanak-kanak ini tidak dapat diselamatkan,” ujarnya. Menurutnya, sebagai langkah awal, ‘pendidikan karakter’ atau ‘character education’ di sekolah dianggap boleh membantu masalah ini daripada terus berlaku. Melalui pelajaran itu nanti, anak-anak dapat membina karakter diri yang diterapkan dengan nilai murni seperti berdisiplin, mengawal perasaan marah, penuhi diri dengan ilmu agama dan sayang menyayangi sesama insan bagi memastikan mereka dapat menggunakan ilmu itu dalam menempuhi kehidupan dewasa. “Saya berharap melalui usaha ini, mereka dapat menggunakannya sebagai prinsip hidup dan sentiasa beringat sebelum melakukan perkara berunsur negatif,” katanya.

Friday, March 5, 2010

Tragedi Cinta Sejenis

Tikam bertubi-tubi
Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
ALOR STAR: Akibat cinta terlarang, seorang jurujual wanita maut di tangan rakan sekerjanya yang juga seorang wanita selepas ditikam tujuh kali dengan sebilah pisau pemotong sayur di perut dipercayai bermotifkan cemburu dalam kejadian di belakang Lorong Kristal, Taman Kristal di sini, malam kelmarin. Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Suhana Mohd Shariff, 26, dari Kota Tanah di sini, ditemui terbaring di belakang Perodua Viva putih miliknya, manakala suspek berusia 33 tahun cedera parah di dada dan tangan kiri selepas menikam diri sendiri. Difahamkan, seorang pengawal keselamatan dikenali sebagai Mohd Faizal yang ketika itu membuat rondaan di lorong berkenaan menemui kedua-dua wanita terbaring menahan kesakitan berhampiran kereta berkenaan. Pengawal terbabit segera menghubungi ambulans dan polis bagi memaklumkan kejadian itu. Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini, manakala ‘teman lelakinya’ ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan kerana kecederaan serius di dada. Difahamkan, kedua-dua wanita bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai menjual alat tulis berhampiran Terminal Bas dan Teksi Shahab Perdana di sini dan berkawan sejak dua tahun lalu. Sebelum kejadian, mereka dipercayai bertengkar dalam kereta berkenaan sebelum suspek menikam mangsa tujuh kali di perutnya. Sejurus melihat mangsa terbaring kesakitan, suspek terus mengelar pergelangan tangan kirinya sendiri sebelum menikam dadanya menggunakan pisau sama. Ketua Polis Daerah Kota Star, Asisten Komisioner Abdul Ghafar Rajab, berkata ketika pasukan polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua wanita sudah dihantar ke HSB untuk rawatan. Bagaimanapun, katanya Suhana disahkan meninggal dunia pada jam 11.35 malam di HSB, manakala suspek masih tidak sedarkan diri dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan. “Siasatan awal mendapati mangsa ialah teman rapat suspek berdasarkan beberapa bahan bukti termasuk gambar dan hadiah yang ditemui dalam keretanya selain mendapati nombor pendaftaran kereta Suhana iaitu 8477 juga mungkin disesuaikan dengan tahun kelahiran mereka,” katanya. Menurutnya, suspek dipercayai tidak puas hati dengan mangsa dan terus menikamnya tujuh kali di perut menggunakan sebilah pisau pemotong sayur sepanjang 17.8 sentimeter.“Selepas melihat mangsa dalam keadaan separuh sedar akibat tikaman itu, suspek terus mengelar pergelangan tangan kirinya beberapa kali dalam cubaan membunuh diri,” katanya di sini, semalam. Bagaimanapun, katanya, suspek yang melihat dirinya tidak cedera terus menikam dadanya beberapa kali sebelum rebah di belakang kereta milik Suhana. Abdul Ghafar berkata, menurut saksi kejadian, kedua-dua wanita berada di luar kereta berkenaan dalam keadaan parah dan polis percaya pergaduhan bermula dari dalam kereta kerana ada kesan darah di tempat duduk pemandu serta penumpang hadapan. “Mangsa keluar dari keretanya untuk menyelamatkan diri manakala suspek mengekori dari belakang. “Bagaimanapun, kedua-duanya ditemui terbaring di belakang kereta berikutan kecederaan yang dialami. “Kami turut menemui sebilah pisau yang digunakan suspek di kawasan sawah berhampiran tempat kejadian,” katanya sambil menyatakan polis akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bangunan berhampiran bagi membantu siasatan. Menurutnya, polis sedang menunggu keputusan bedah siasat terhadap mayat mangsa yang berasal dari Lorong Kenanga di sini, manakala suspek yang tinggal di Seberang Nyonya di sini, belum direkodkan kenyataan berikutan masih tidak sedarkan diri. Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Thursday, March 4, 2010

Rumah Urut

Pakej urut gadis genit
Gambar Hiasan
Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
ahmadtajol@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: Lambaian manja gadis genit warga asing yang sering menghiasi premis yang menawarkan pakej urutan kaki atau refleksologi sekitar Bukit Bintang membawa kepada pembongkaran kegiatan penyalahgunaan lesen perniagaan pihak berkuasa tempatan (PBT). Malah, sebaik menyedari kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa, beberapa pekerja yang kebiasaannya berdiri di laluan masuk ke premis urut terbabit cuba melarikan diri, namun gagal sebelum ditahan anggota penguat kuasa berpakaian preman. Dalam operasi ‘Ops Noda’ sepasukan tiga pegawai dan 15 anggota dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur (IPPKL) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) semalam, lima daripada 32 premis diperiksa secara rambang. Pihak berkuasa menahan seorang wanita berusia lingkungan 40-an dipercayai berkhidmat sebagai ‘Mami’ atau penjaga kepada pekerja urut terbabit di sebuah premis disyaki, dalam serbuan kira-kira 10.30 malam. Serbuan menyasarkan beberapa premis di Jalan Bulan, Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya serta bertujuan membasmi tindakan gadis genit berkenaan yang sering dilihat mengganggu ketenteraman individu lain terutama pelancong asing. Pegawai Turus D7 IPKKL, Deputi Superintendan Razali Abu Samah, menjelaskan serbuan dilakukan dengan DBKL berdasarkan maklumat dan aduan orang awam berhubung kegiatan serong pekerja urut refleksologi terbabit. “Hasil pemeriksaan lanjut, dua wanita warga Indonesia berusia lingkungan 30 hingga 40-an turut ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan haram berkenaan, sekali gus menyalahgunakan pas kerja,” katanya.

Wednesday, March 3, 2010

Mati Dipijak

Cemburu tiada anak
Oleh Sarah Zulkifli dan Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
am@hmetro.com.my
PETALING JAYA: Cemburu melihat kebahagiaan keluarga jirannya yang mempunyai anak, seorang kelindan lori dipercayai bertindak di luar batasan apabila tergamak mendera dengan memijak anak tetangganya itu sehingga mati akibat kecederaan dalaman yang serius. Malah, selepas menyedari kanak-kanak itu sudah tidak bernyawa, suspek segera membawanya ke klinik dan cuba menyembunyikan perbuatannya dengan mendakwa mangsa mati kerana tercekik gula-gula. Bapa mangsa, S Karigalan, 42, berkata dia tidak menyangka jirannya itu boleh bertindak keji dan tidak berperikemanusiaan hanya kerana cemburu kebahagiaan keluarganya. “Hanya kira-kira enam bulan saya dan keluarga mengenalinya (suspek) dan tidak menyangka dia tergamak memperlakukan anak pertama saya sedemikian rupa,” katanya menceritakan insiden tragis menimpa anaknya yang berusia 18 bulan itu. Ibu mangsa, K Thilagawathy, 23, yang ditemui di rumahnya di Pangsapuri Damansara Bistari, SS 2/72, dekat sini, masih trauma dan lebih banyak mendiamkan diri selain tidak bermaya. Harian Metro difahamkan, suspek diminta ibu mangsa untuk menjaga anaknya sebentar sementara dia dan suami menyelesaikan urusan peribadi dan tidak menyangka tragedi berkenaan boleh berlaku.
Lelaki terbabit yang berusia 33 tahun dipercayai cemburu melihat pasangan jirannya yang mempunyai dua anak sedangkan dia dan pasangannya yang mendirikan rumah tangga sekian lama belum mempunyai anak. Dalam kejadian jam 10 hingga 12 malam kelmarin, mangsa, K Hareswara, menemui ajal selepas dipercayai didera suspek ketika dibawa bersiar-siar di sebuah taman permainan kanak-kanak berhampiran pangsapuri berkenaan. Pada mulanya, lelaki terbabit mendakwa kanak-kanak itu menjadi lemah selepas memakan gula-gula yang diberikannya, namun selepas pemeriksaan rapi dijalankan, doktor menemui beberapa kesan lebam pada badan mangsa selain kecederaan dalaman yang serius. Doktor yang sangsi dengan hasil pemeriksaan itu segera menghubungi polis sebelum suspek ditahan kerana disyaki mendera mangsa sehingga mati. Sementara itu, datuk mangsa, A Krishnamoorthy, 50, turut sugul mengenangkan kejadian yang menimpa cucu kesayangannya, namun menerimanya dengan tabah. “Dia (Hareswara) seorang kanak-kanak yang periang, malah sudah pandai menyebut nama ibunya selain gemar melakar abjad tertentu jika diberikan pensel dan kertas.
“Kini segalanya sudah berubah, malah hanya tinggal adiknya yang berusia empat bulan menemani kami sekeluarga,” katanya. Krishnamoorthy yang kesal dengan kejadian itu meminta pihak berkuasa mengenakan hukuman setimpal terhadap suspek yang menyebabkan kematian cucunya itu. “Saya nasihatkan orang ramai jangan terlalu mempercayai orang lain dan membenarkan mereka menjaga anak-anak yang masih kecil bagi mengelakkan kejadian sama berulang. Biar kejadian ini menjadi pengajaran kepada masyarakat,” katanya.

Tuesday, March 2, 2010

Ditahan Berkhalwat

3 pasangan bogel ditahanGambar Hiasan
KLANG: Beberapa lelaki hidung belang yang memadu asmara dengan pasangan masing-masing hanya mampu menepuk dahi selepas sebuah spa kesihatan di Jalan Batu Tiga, di sini, digempur polis dari Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, kelmarin. Dalam operasi kira-kira jam 11.15 malam, tiga pasangan dalam keadaan bogel tidak mampu berbuat apa-apa sejurus bilik mereka dibuka polis. Operasi itu menahan 23 warga asing terdiri daripada 17 wanita Indonesia, China (empat), Vietnam (dua) dan tiga wanita tempatan dipercayai bekerja sebagai pelacur. Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata polis juga menahan 10 warga negara ini yang bekerja di premis itu bagi membantu siasatan.“Turut ditahan 15 pelanggan yang cuba mendapatkan khidmat pelacur. “Semua pelanggan terbabit dibebaskan selepas diambil pengenalan diri mereka manakala pelacur berusia antara 18 hingga 40 tahun itu kami akan dapatkan perintah reman bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media, di pejabatnya di sini, semalam. Dalam serbuan itu, polis turut menemui laluan sulit disediakan bapa ayam bagi membolehkan pelacur melarikan diri. Mohamad berkata, siasatan mendapati setiap pelanggan yang mahu mendapat khidmat seks dikenakan antara RM140 hingga RM180 setiap sesi dan bergantung kepada negara. “Polis turut merampas bil tunai sebanyak 66 keping, dua keping kertas tercatat butir-butir pekerja dan 14 kondom yang belum digunakan,” katanya menambah spa kesihatan terbabit kali pertama digempur tahun ini manakala tahun lalu sudah tiga kali diserbu. Pengurus premis ditahan kerana menggaji warga asing tanpa permit kerja dan dokumen sah dan menjalankan perniagaan rumah urut menggunakan lesen tamat tempoh selain disyaki menjalankan kegiatan pelacuran. Mohamad berkata, Kes disiasat mengikut Seksyen 373 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen.