Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Bapa setan. Itulah gelaran sepatutnya diberikan kepada seorang lelaki yang sanggup menampar dan menumbuk anak perempuannya berusia tujuh tahun hanya kerana kesalahan kecil.Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 petang di sebuah flat di Setapak di sini, Rabu lalu, lelaki itu pergi menjemput anaknya untuk dibawa ke bank berhampiran rumahnya untuk sesuatu urusan. Sumber itu berkata, kanak-kanak perempuan terbabit enggan mengikutinya menyebabkan lelaki terbabit memarahi mangsa. “Biarpun beberapa kali memujuk anaknya itu, mangsa masih enggan menyebabkan lelaki itu tiba-tiba hilang kawalan dan menampar mangsa beberapa kali. “Tidak cukup dengan itu, lelaki terbabit mengangkat kanak-kanak itu dan cuba menghempasnya ke lantai di hadapan rumah berkenaan. “Bagaimanapun, mangsa bernasib baik apabila ibu mentua yang juga nenek kepada kanak-kanak itu sempat menghalang,” katanya. Difahamkan, wanita terbabit turut meminta agar bekas menantunya itu menggunakan pendekatan baik dalam memujuk kanak-kanak itu. Menurut sumber, bapa mangsa akhirnya berjaya memujuk anaknya itu sebelum kedua-dua mereka keluar dari rumah berkenaan untuk berurusan di bank berhampiran. “Ketika lelaki terbabit keluar berdua dengan anaknya, dia dikatakan tidak berubah sikap dan tidak mengendahkan nasihat bekas mentuanya itu apabila terus memukul mangsa,” katanya. Difahamkan, kekejaman itu hanya disedari nenek dan ibu mangsa selepas kembali ke rumah pada sebelah petang hari sama. Sumber berkenaan berkata, wajah mangsa bukan saja berbirat dipercayai ditampar, malah matanya juga lebam seperti ditumbuk. Ibu mangsa membawa kanak-kanak malang itu membuat pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL), di sini, sebelum membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju untuk tindakan lanjut. Difahamkan, kanak-kanak itu kini trauma disebabkan perbuatan kejam bapa kandungnya sendiri.
No comments:
Post a Comment