Sunday, March 28, 2010

Imbau Zaman Koboi

Imbau zaman koboi

Oleh ROSLAN IBRAHIM
PEJAMKAN mata dan bayangkan diri anda pada era 1850-an di kawasan perlombongan emas di Sovereign Hill, Ballarat, Australia.

MERIAH... perkampungan Sovereign Hill yang sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti yang menggambarkan cara hidup masyarakat koboi era 1850-an.

KAGUM...panorama indah ini boleh anda lihat sendiri jika berkunjung ke Melbourne.
Inilah yang saya alami ketika di perkampungan ala koboi atau taman tema bersejarah yang menempatkan bangunan era 1850-an termasuk pub, hotel, kedai roti, pejabat pos, lombong emas, kandang kuda malah pusat permainan boling.Melihat masyarakatnya berpakaian ala koboi mengingatkan saya kepada filem itu yang pernah saya tonton apatah lagi saya amat meminati aktor tersohor Hollywood seperti Charles Bronson, Clint Eastwood dan John Wayne.
Ketika berjalan-jalan di perkampungan itu, seolah-olah saya salah seorang manusia yang hidup di zaman itu. Cara hidup mereka memang ‘hidup’ dengan karakter yang melambangkan masyarakat era itu. Ketika asyik meninjau perkampungan itu, saya dikejutkan dengan lakonan pergaduhan beberapa lelaki di pub kerana merebut wanita sehingga terpaksa dileraikan polis.
Kereta kuda yang memang sinonim dengan filem koboi menjadi pengangkutan utama untuk melakukan pelbagai tugas termasuk cari gali dan mengangkut emas. Ketika di kawasan itu, kadang kala kita lupa ia hanya perkampungan yang dibina semula untuk menggambarkan penempatan itu pada 1851. Perkampungan Sovereign Hill ini adalah antara tarikan pelancong utama di wilayah Ballarat. Lebih 500,000 pelancong mengunjungi kawasan itu setiap tahun sejak dibuka pada 29 November 1970. Di sini, anda bebas masuk di mana-mana bangunan untuk merasakan sendiri suasana abad ke-19 itu. Anda boleh mengambil gambar bersama pekerja yang memakai kostum zaman itu termasuk pasukan tentera dan polis. Jika mahu melihat lebih terbuka senario zaman itu, saksikan persembahan bunyi dan cahaya, bertajuk "Blood on the Southern Cross" yang disiarkan selama 90 minit Sovereign Hill adalah kawasan perlombongan emas utama di Australia dan di dunia yang dibuka pada 1851. Sebelum ini, kawasan seluas 25 hektar itu tidak ramai penghuni tetapi dengan penemuan emas, ia berkembang secara drastik penduduk luar untuk mencari rezeki. Sebanyak 60 bangunan di kawasan itu menggambarkan pembangunan pesat Sovereign Hill. Sepanjang aktiviti cari gali emas, pelombong pernah menemui emas seberat 69 kilogram dan dianggap terbesar di dunia, Nilainya ketika itu ialah RM2.8 juta. Saya berpeluang melihat demontrasi cara gali emas ketika wakil media yang ditaja Tourism Australia dan Emirate Airline membawa kami melawat lombong bawah tanah di The Red Hill. Menggunakan kesan visual, kami melihat pelombong menggunakan kaedah tradisional termasuk tukul besi untuk memecahkan batu dan menarik emas dengan kereta kuda.

>Destinasi menarik di Melbourne Melbourne Aquarium Di sini, anda boleh melihat pelbagai hidupan laut seperti jerung, pari, penguin dan penyelam yang memberi makan ikan dalam akuarium. Berada di sini, seolah-olah berjalan melalui lautan yang dikelilingi hidupan laut. Terowong yang dibina memudahkan anda melihat hidupan laut di depan mata. Bayaran masuk, RM65 (dewasa) dan RM54 (kanak-kanak) mungkin agak mahal tetapi berbaloi apabila menyaksikan pelbagai jenis ikan di dalam akuarium besar. Eureka Skydeck Dengan ketinggian 88 tingkat, Ia adalah bangunan tertinggi di Melbourne untuk melihat melihat bandar raya itu dari udara. Ia juga satu-satu di dunia, pelancong berpeluang duduk dalam kiub kaca, tiga meter di luar bangunan, seolah-olah anda terapung di udara. Queen Victoria Market Ia adalah mercu tanda Melbourne. Dengan keluasan tujuh hektar, ia adalah pasar terbuka terbesar dan diiktiraf antara kawasan seni warisan di Australia. Pasar itu diberi nama sempena nama Queen Victoria yang memerintah empayar British dari 1837 hingga 1901. Ia mula beroperasi pada 1850 dengan memasarkan produk kering dan basah. Reka bentuk pasar itu menggambarkan seni bina Inggeris. Pasar itu dibuka setiap hari kecuali Isnin dan Rabu. Pasar malam diadakan pada Selasa yang menawarkan pelbagai jenis barangan termasuk hiburan Ballarat Terletak di kawasan tanah tinggi dan perlombongan emas, Ballarat hanya sejam perjalanan dari Melbourne melalui Lebuhraya Western. Sepanjang perjalanan, anda dihidangkan panorama alam semula jadi termasuk ladang ternakan lembu, biri-biri dan kuda yang saujana mata memandang.

Taman Hidupan Liar Ballarat Kawasan seluas 116 hektar itu memberi peluang anda melihat hidupan liar di Australia di hadapan mata seperti kanggaru, koala, Tasmania Devil, pelbagai jenis burung dan buaya. Phillip Island Inilah peluang melihat hidupan laut secara dekat, antaranya anjing laut dan penguin. Kawasan ini menjadi tumpuan pelancong dari seluruh dunia.

No comments:

Post a Comment