Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Sewa Beli 1967 yang akan dibuat bakal menyaksikan institusi kewangan dan perbankan perlu mendapatkan kebenaran mahkamah terlebih dulu sebelum bertindak menarik kenderaan pengguna yang gagal menjelaskan ansuran bulanan mereka. Pindaan itu dibuat bagi melindungi pengguna terutama apabila berhadapan dengan penarik kereta yang bertindak ganas dan sewenang-wenang menarik kenderaan mereka, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. “Isu tukang tarik kereta yang bertindak ganas dan tidak mengikut undang-undang menyebabkan pengguna berada dalam ketakutan apabila berhadapan dengan mereka dan tindakan mereka ini pula dibenarkan oleh pihak institusi kewangan. “Jadi kita akan pinda akta ini, bagi memperkenalkan peraturan yang lebih ketat dan tarik kereta hanya boleh dilakukan selepas mendapat kebenaran mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat ‘Bulan Agensi Kerajaan’, Bahagian Wangsa Maju, di sini semalam. Beliau berkata, bagaimanapun kebenaran mahkamah itu mungkin hanya diberi kepada pengguna atau peminjam yang sudah menjelaskan lebih dari satu pertiga daripada jumlah keseluruhan pinjaman yang dibuat. “Kalau kurang dari satu per tiga, orang ini mungkin memang tidak berminat atau memang ada niat untuk tidak membayar, jadi kita tidak akan melindungi orang macam ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment