Gambar Hiasan
KUALA KRAU - “Lagi along...lagi along,” itulah kata-kata terakhir Nurul Zalia Natasya Zakaria, 9, ketika melihat kakaknya sedang mengundurkan kereta untuk disimpan di garaj depan rumah mereka. Dalam kejadian Khamis lalu, mangsa dikatakan duduk di kerusi di hadapan rumahnya, kira-kira jam 10 malam ketika keluarganya menonton perlawanan akhir badminton Terbuka Seluruh England antara Malaysia dengan Jepun. Ibu mangsa, Romadiah Mohd Desa, 47, berkata, ketika itu mangsa dikatakan bermain guli dalam rumahnya dan selepas itu mangsa memberitahu untuk mencabut uban. Menurutnya, hanya tiga helai uban dicabut arwah kerana katanya, sudah banyak dan mahu menyambung bermain guli. “Selepas itu, bapanya Zakaria Tahir, 57, menasihati arwah supaya berhenti bermain guli kerana dari pagi sampai malam tidak berhenti bermain permainan itu. Selepas ditegur, kami ingat dia sudah masuk ke dalam bilik. “Kami tidak sedar kerana melihat perlawanan badminton itu dan dia keluar setelah melihat alongnya itu mengundur kereta,” katanya. Ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Desa, di sini, ibunya berkata, pada malam kejadian Zarina melihat adik lelakinya (anak kedua) sedang mencuci kereta di hadapan rumah. Menurutnya, selepas melihat adiknya itu mencuci kereta milik bapanya Zarina pula menyimpan kereta jenis Viva miliknya yang baru dibeli beberapa bulan lalu. “Ketika mengundurkan kereta, tiba-tiba besi penutup longkang terpatah menyebabkan Zarina terpaksa menekan minyak dengan kuat. Ketika itu Zarina tidak perasan dan tidak nampak mangsa duduk di kerusi belakang kereta itu. “Selepas menekan minyak, kereta itu bergerak laju dan melanggar kerusi di belakang namun masih belum menyedari mangsa berada di belakang. Kami yang sedang menonton televisyen terdengar bunyi kereta itu yang melanggar kerusi dan bergegas melihat apa yang berlaku. “Selepas itu, kami terkejut melihat mangsa terkulai layu di belakang akibat perlanggaran tersebut. Kami segera mengambil mangsa dan membawanya ke klinik berdekatan,” katanya. Romadiah berkata, apabila sampai di klinik, pegawai perubatan memberitahu Nurul Zalia Natasya meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala. Menurutnya, semasa kejadian itu mangsa dikatakan duduk bersila di atas sofa dan dipercayai terhantuk di kepala ketika tunduk untuk mengambil gulinya yang terjatuh di bawah kerusi itu. Mangsa adalah murid Tahun Tiga, Sekolah Kebangsaan Kuala Krau dan anak kelapan daripada sembilan adik-beradik. Dia juga seorang anak periang, rajin belajar serta disayangi ahli keluarga. Sebelum mangsa meninggal dunia, kakaknya sempat menunaikan hasrat mangsa untuk berkelah di Gambang Water Park dengan menaiki kereta barunya itu. Romadiah berkata, dia tidak menyangka anaknya itu pergi buat selama-lamanya kerana dia tidak mendapat sebarang petanda atau mimpi berkenaan mangsa sebelum meninggal dunia. “Apa yang pelik mengenai arwah ialah dia sangat berselera makan sejak seminggu lalu dan badannya pula cepat naik. “Adik-beradiknya lain hairan melihat dia begitu berselera ketika makan. Selain itu, dia juga rajin pergi mengaji bersama abangnya,” katanya. Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Ahmad Fadzillah Mohamed berkata, setelah kakak mangsa mendapati tiada sesiapa di belakang keretanya, Zarina mengundurkan keretanya itu ke dalam garaj depan rumahnya. Menurutnya, semasa mengundur pemandu kereta itu terasa terlanggar sesuatu di belakang dan terus menghentikan keretanya itu. “Setelah memberhentikan kereta dan keluar melihat apa yang berlaku, dia mendapati melanggar adiknya secara tidak sengaja,’ katanya.
No comments:
Post a Comment