Kedi malang
Oleh Mohd Firdaus Ibrahimm
KUALA LUMPUR: Kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan. Itulah perumpamaan tepat bagi menggambarkan nasib malang lebih 80 kedi sepenuh masa dan sambilan di sebuah kelab golf terkemuka di sini, yang tidak dibenarkan bekerja, sejak Isnin lalu. Difahamkan, tindakan itu diambil pihak pengurusan kelab golf itu kerana mereka mula menggaji kedi wanita terdiri daripada warga asing kebanyakannya rakyat Indonesia sehingga mengenepikan pekerja tempatan. Bertambah malang apabila kebanyakan semua kedi terbabit mendakwa dipaksa menandatangani kontrak yang dikatakan berat sebelah sehingga menjejaskan pendapatan. Ketua kedi, Heddenie Daud, 44, berkata kontrak terbabit dibuat seolah-olah mahu mengarahkan semua kedi berhenti kerja. “Mana tidaknya, biarpun kami tidak setuju mengenai tawaran itu, mereka (pihak pengurusan) terus memaksa supaya berbuat demikian. “Tindakan mereka itu seperti mahu kami menarik diri atau berhenti bekerja. Jadi mudahlah mereka meneruskan niat menggaji pekerja wanita warga Indonesia. “Kenapa mereka (pihak pengurusan) mengutamakan warga asing sedangkan ada antara kami yang berkhidmat lebih 20 tahun,” katanya ketika ditemui di sini, semalam. Menurutnya, tawaran gaji dalam kontrak itu juga lebih rendah daripada gaji sebelum ini. “Jika dulu, purata pendapatan kami kira-kira RM1,150 sebulan dan sejak kontrak itu diperkenalkan kami hanya mampu mendapat RM900 saja. “Lagipun, gaji kami bukanlah dibayar pihak pengurusan sebaliknya dijelaskan ahli kelab,” katanya. Seorang lagi kedi, Mohd Azrin Abd Rahim, 30, berkata pihak pengurusan sepatutnya berbincang terlebih dulu mengenai isi kandungan kontrak berkenaan bagi mengelak ketidakpuasan di kalangan pekerja. “Ini tidak, mereka main belasah saja tanpa mengambil kira pendapat dan pandangan kami. Kami semua kini boleh seperti ‘pengemis’ di negara sendiri. “Mana tidaknya, empat hari kami tidak dibenarkan bekerja. Macam mana kami nak sara keluarga,” katanya. Sementara itu, usaha Harian Metro untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada pihak pengurusan kelab golf terbabit juga gagal berikutan keengganan mereka menemui wartawan selain menjawab panggilan telefon.
No comments:
Post a Comment