Tuesday, April 27, 2010

Tukang Urut Lari Bogel

Tukang urut lari bogel
Oleh Abdullah Wahab
KLANG: Memalukan apabila seorang tukang urut wanita warga asing yang sedang memadu asmara dengan pelanggannya di sebuah spa di bandar ini, bertindak melarikan diri dalam keadaan bogel sebelum diberkas sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, di sini, kelmarin.

MALU...tukang urut warga asing yang ditahan dalam operasi di sebuah spa malam, kelmarin.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 10 malam dan berakhir tiga jam kemudian itu, polis menahan lima wanita Indonesia dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral manakala dua lagi sempat melarikan diri. Siasatan polis mendapati spa terbabit mempunyai lesen sah untuk menjalankan perniagaan rumah urut, bagaimanapun pemilik terbabit dipercayai menyediakan khidmat seks kepada pelanggannya sekali gus menyebabkan mereka mampu meraih pendapatan lumayan selain mendapat permintaan menggalakkan daripada pelanggan. Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, pusat spa terbabit sudah dua kali diserbu pihak berkuasa, namun pengusahanya tetap berdegil dengan menjalankan aktiviti tidak bermoral. “Ketika pemeriksaan dibuat, kelima-lima wanita berusia lingkungan 20-an gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri dan kita percayai mereka tidak mempunyai dokumen sah. “Semua mereka kemudian dibawa ke IPD untuk tindakan lanjut. Kami juga akan mengambil tindakan ke atas pemiliknya yang didapati terbabit dalam aktiviti tidak bermoral,” katanya di sini, semalam. Difahamkan, harga ditawarkan untuk khidmat urutan adalah RM100 manakala caj tambahan berjumlah RM50 dikenakan ke atas pelanggan bagi menyentuh beberapa bahagian tubuh tukang urut warga asing itu. Turut ditemui ketika serbuan itu, kondom yang belum dan sudah diguna bertaburan di atas lantai. Ketika serbuan, terdapat tujuh tukang urut berada di dalam bilik masing-masing bersama pelanggan, bagaimanapun sebaik menyedari premis mereka diserbu, mereka bergegas melarikan diri. Lima daripadanya diberkas sebelum polis mengarahkan mereka supaya menutup tubuh bogel dengan tuala. Mohamad berkata, turut ditahan dalam seruan itu seorang pelanggan, bagaimanapun dia dibebaskan sejurus keterangannya direkodkan. http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tukangurutlaribogel/Article/#

Budak Bermata Biru

Budak mata biru sedia jumpa pakar genetik

SUNGAI PETANI - Keluarga kanak-kanak bermata biru, Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal bersedia mendapatkan khidmat nasihat pakar genetik dan perubatan bagi membolehkan mereka mengetahui status sebenar tahap kesihatan kanak-kanak itu.Bapanya, Mohamad Rizal Salim, 32, memberitahu, pihaknya tidak mempunyai masalah berbuat demikian memandangkan sebelum ini Mohd. Aizat Aiman telah menjalani pemeriksaan rutin di hospital kerajaan. Bagaimanapun, lelaki itu berharap pihak berkaitan dapat membantu membiayai kos rawatan perubatan anaknya memandangkan dia hanya bekerja kilang dan tidak mampu menghantar kanak-kanak itu ke pusat perubatan swasta."Kami berasa lega kerana disahkan doktor bahawa dia tidak mengalami masalah penglihatan. Namun, jauh di sudut hati saya bimbang dia akan mewarisi masalah pendengaran seperti yang dialami saya dan isteri," katanya dalam jawapan bertulis kepada pemberita ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak dekat sini semalam.Muka depan Utusan Malaysia pada Sabtu lalu menyiarkan kisah Mohd. Aizat Aiman yang berusia setahun empat bulan dari Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak menjadi tumpuan penduduk setempat gara-gara matanya yang didakwa bertukar warna daripada hitam kepada biru.Datuknya, Ahmad Mustafa, 62, memberitahu, kejadian pelik itu berlaku selepas beberapa bulan cucunya dilahirkan.Katanya, semasa dilahirkan, mata cucunya berwarna hitam namun selepas beberapa bulan ia berubah warna menjadi biru dan berkilauan. Keluarganya juga hairan dengan perubahan itu kerana tidak mempunyai darah kacukan orang Barat ataupun Asia Barat.Berikutan itu, pensyarah perubatan di Jabatan Fisiologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr. Ruszymah Idrus menasihatkan keluarga terbabit membawa Mohd. Aizat Aiman berjumpa pakar genetik bagi memastikan kanak-kanak tersebut tiada masalah kesihatan lain.Mohamad Rizal yang mengalami masalah pendengaran memberitahu, dia tidak begitu hairan anak tunggalnya itu mempunyai mata berwarna biru memandangkan dia sendiri turut memiliki mata biru di sebelah kiri."Mata saya biru tapi sedikit dan tak nampak ketara," jelasnya.Ketika ditanya tentang kemungkinan kejadian itu berlaku kerana kegemaran isterinya, Noraini Ahmad, 31, bermain dengan seekor kucing peliharaan bermata biru sewaktu hamil, Mohamad Rizal berkata, dia tidak menolak sama sekali andaian tersebut."Kalau nak kata tak boleh percaya tak juga sebab menurut cerita ibu, semasa mengandungkan dan hampir cukup bulan, ibu saya teringin sangat nak tengok mat saleh (orang Barat). Sebab itu mata kiri saya jadi biru sedangkan dalam salasilah keluarga saya tak ada darah campuran," dakwanya.Sementara itu Noraini berkata, dia berasa terkejut selepas dimaklumkan bapanya bahawa ramai yang datang melihat anaknya di rumah mereka selepas kisahnya tersiar dalam akhbar."Saya tidak pasti sama ada kejadian mata biru Mohd. Aizat ada kaitan dengan masalah kesihatan atau sebaliknya, namun saya berharap dia dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa," katanya yang turut memberikan jawapan secara bertulis kepada pemberita.Dalam pada itu Ahmad memberitahu, dia tidak 'menang tangan' mengangkat telefon daripada sanak-saudara yang bertanyakan kejadian itu. "Sejak disiarkan akhbar, ramai saudara termasuk dari Pahang dan Melaka menghubungi saya bertanyakan kesahihan berita itu. Malah, saya juga disapa orang ramai ketika keluar membeli barang keperluan di pekan Kota Kuala Muda," katanya."Seorang pekedai Cina tempat saya selalu membeli barang keperluan rumah juga ada bertanya kepada saya sama ada kami sekeluarga 'buat' sendiri mata biru dengan memakaikan cucu saya kanta lekap. Saya jawab Allah yang buat (cipta)," katanya.

Saturday, April 17, 2010

Perkosa Rakan Dalam Kelas

Perkosa rakan dalam kelas
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
RAWANG: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang tidak dapat mengawal nafsu serakahnya sanggup menyerang dan memperkosa rakan sekelasnya dalam bilik darjah.Difahamkan pelajar terbabit mengambil kesempatan memperkosa mangsa yang juga penghuni sebuah rumah kebajikan ketika semua rakan sekelasnya keluar ke kantin ketika waktu rehat. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata dalam kejadian jam 3.35 petang, Selasa minggu lalu, mangsa berada bersendirian dalam kelas bersama suspek yang dipercayai menunggu peluang untuk memperkosa mangsa. Menurutnya, suspek tiba-tiba menghampiri mangsa sebelum memperkosa dan meninggalkannya dalam kelas. Bagaimanapun, mangsa yang ketakutan dan malu enggan menceritakan apa yang berlaku kepada guru dan rakannya. “Mangsa yang tinggal di rumah kebajikan pulang dari sekolah sebelum menceritakan kisah hitam dialami kepada seorang kakitangan di rumah kebajikan berkenaan,” katanya. Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian itu hanya dibuat mangsa enam hari selepas kejadian dengan ditemani kakitangan rumah kebajikan berkenaan di Balai Polis Rawang. “Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum ke sekolah mangsa kira-kira jam 2 petang, kelmarin.“Polis menahan pelajar lelaki terbabit yang berada dalam kelas. Pelajar terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Gombak untuk siasatan lanjut,” katanya. Menurutnya, mangsa turut dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesahkan dia diperkosa. “Kes terbabit kini masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah memperkosa,’ katanya.

Wednesday, April 14, 2010

Bayi Tercekik Bebola Ikan

Bayi meninggal tercekik bebola ikan
Gambar Hiasan
TAMPIN: Seorang bayi lelaki berusia sepuluh bulan meninggal dunia akibat tercekik bebola ikan ketika makan di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Jalan Cantik di sini hari ini.Bayi itu, Wan Nur Alif Wan Arif Fadhla dikatakan tercekik bebola ikan semasa menikmat sarapan pagi kira-kira jam 9 pagi bersama kanak-kanak lain yang disediakan oleh pengasuh pusat asuhan berkenaan. Bapa bayi itu, Wan Arif Fadhla Wan Yusof, 41, berkata beliau menerima panggilan telefon daripada isterinya pada jam 11.15 pagi, memberitahu anaknya dihantar ke Hospital Tampil selepas dikatakan terjatuh. "Sebaik tiba di hospital berkenaan, pihak hospital memaklumkan bahawa anak saya sudah meninggal dunia akibat tercekik bebola ikan. Saya berasa amat kesal di atas sikap kecuaian pihak pengasuh," kata Pegawai Penerangan Daerah Rembau itu. Katanya beliau sudah melaporkan kejadian itu di Balai Polis Tampin.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin Supt Wooi Hooi Cheng ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat oleh bapa kanak-kanak itu. Katanya pihak polis telah membuka kertas siasatan dan akan memanggil pengusaha pusat asuhan itu untuk memberi keterangan.

Monday, April 12, 2010

Janda Sepi Putih Mata

Cinta duitan lelaki Afrika
Oleh Shanty Nur Shaffizan Shafee
KUALA LUMPUR: Seorang janda yang terpikat dengan sikap romantik seorang lelaki Afrika menyebabkan dia kini terseksa apabila wang simpanannya lesap dilarikan teman lelakinya itu.Wanita terbabit yang berusia 44 tahun yang juga seorang pegawai bank seolah-olah tidak percaya teman lelakinya itu sanggup meninggalkannya sedangkan mereka bahagia dengan perhubungan yang dijalinkan hampir setahun lalu. Hanya dikenali sebagai Azie, mangsa berkata dia berkenalan dengan teman lelakinya itu di sebuah pusat beli-belah di ibu negara pada pertengahan tahun lalu. “Sejak bercerai, hati saya seolah-olah tertutup bercinta lagi, namun apabila menemui Youssof yang berusia 10 tahun lebih muda daripada saya, hidup saya lebih bermakna. “Youssof mendakwa datang ke negara ini sebagai pelajar, namun dia sentiasa meluangkan masa bersama saya menyebabkan diri rasa dihargai,” katanya ketika di temui baru-baru ini. Menurutnya, setelah beberapa bulan menjalinkan hubungan, dia mula mempercayai lelaki Afrika terbabit walaupun dinasihatkan rakannya untuk berhati-hati. “Sebelum ini saya sering mendengar helah lelaki Afrika yang sering memperdayakan wanita tempatan, namun penangan cinta sejati Yousoff menjadikan saya buta hati untuk meninggalkannya. “Apabila bercinta, semuanya indah hingga saya sanggup berkorban apa saja untuk dia termasuk melayan nafsunya serta memberikan wang ringgit,” katanya yang mula meminjamkan RM3,000 setelah sebulan berkenalan. Namun, selepas itu, teman lelakinya itu sering meminta meminjamkan wang termasuk bagi membuat pembayaran sewa sebuah unit kondominium mewah di ibu negara sebagai lokasi mereka bermadu asmara. “Setiap kali meminjamkan wang kepada Yousoff, dia berjanji akan memulangkan dua kali ganda wang terbabit. Kadang-kadang saya cuba menipunya untuk tidak memberikan wang, namun belaian Yousoff membuatkan saya cair. “Dia bijak bermain kata-kata saya jatuh hati hingga tidak sanggup meninggalkannya apatah lagi saya sudah lama kesepian sejak ditinggalkan suami,” katanya. Azie berkata, kali terakhir dia meminjamkan wang RM26,000 kepada Yousoff yang mendakwa kesempitan wang untuk membiayai yuran pengajiannya ialah bulan lalu. “Sejak itu, Yousoff gagal dihubungi dan rumah sewanya juga kosong. Pada mulanya saya tidak mahu berprasangka buruk, namun akhirnya terpaksa akur yang saya diperdayakan. “Wang simpanan lebih RM80,000 habis diserahkan kepadanya sedangkan ia sepatutnya digunakan untuk pengajian dua orang anak saya yang masih bersekolah,” katanya yang membuat laporan polis kerana ditipu. Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Izany Abd Ghany yang ditemui mengesahkan laporan itu dan sedang menjejaki suspek. “Siasatan awal mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu mendapati suspek menggunakan beberapa identiti dan kami sedang bekerjasama dengan kedutaan terbabit bagi menjejakinya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Sunday, April 11, 2010

Buang Bayi

Mayat dalam tong sampah
Oleh Md Fuzi Abd Lateh
RAWANG: Masih tidak berkesudahan apabila manusia berhati syaitan sanggup membunuh zuriat sendiri dengan memilih tong sampah sebagai ‘kubur’ insan cilik ini.Sungguh menyayat hati apabila bayi lelaki dipercayai dilahirkan dalam tempoh 24 jam lalu ditemui mati dengan berbalut empat beg plastik sebelum dibuang dalam tong sampah di Kampung Tanjung, dekat Sungai Choh, di sini, semalam. Bayi sempurna sihat dengan kesan berdarah ditemui Mohd Kamil Enoh, 44, yang juga pekerja syarikat kutipan sampah swasta Hulu Selangor, jam 8 pagi. Menurutnya, ketika mengambil sampah yang terdapat dalam dua tong, dia terkejut menemui satu bungkusan berat dibalut beg plastik cerah yang terdapat dalam tong sampah itu. Katanya, ketika itu dia cemas, namun memberanikan diri membuka bungkusan itu. “Mulanya saya nampak kaki bayi. Selepas dibuka keseluruhan pembalut itu sangkaan awal bayi dibuang memang benar sekali. “Saya sebak dan menggigil. Bayi itu masih bertali pusat dibuang bersama urinya yang masih baru dilahirkan kerana terdapat beberapa tompokan darah padanya,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, dia mendapatkan bantuan peniaga gerai nasi ayam bersebelahan tempat kejadian bagi menghubungi polis memaklumkan perkara itu. Katanya, pengalaman itu cukup menyentuh hatinya selepas tujuh tahun bekerja mengutip sampah di beberapa kampung di Sungai Choh itu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, polis menerima laporan mengenai penemuan bayi berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut. “Mayat dihantar ke Rumah Mayat Hospital Kuala Kubu Bharu, jam 9.15 pagi untuk bedah siasat. “Sehingga kini tidak ada sebarang tangkapan dilakukan berhubung kejadian itu,” katanya.

Menantu Hantu

Suami durjana
Oleh Amirul Haswendy Ashari
KUALA LUMPUR: Akibat cemburu, seorang pemandu lori berusia 31 tahun layak digelar ‘menantu hantu’ kerana bukan saja membelasah isterinya hampir setiap hari, malah tergamak memukul ibu mentuanya di depan ibu sendiri.Ketika kejadian, kedua besan terbabit sedang berbincang mengenai usaha untuk menjernihkan masalah yang dihadapi pasangan muda itu, di rumah sewa pasangan terbabit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Difahamkan, pasangan yang mempunyai cahaya mata berusia lima bulan itu terpaksa berpisah sementara menanti keputusan mahkamah selepas lelaki itu melafazkan talak kali kedua beberapa minggu lalu. Bagaimanapun, lelaki itu tidak dapat menerima hakikat perpisahan dengan alasan masih menyayangi isteri dan anaknya walaupun dia pernah melafazkan talak tahun lalu. Mentua terbabit, yang hanya mahu dikenali sebagai Esah, 56, berkata menantunya itu pernah bertindak ganas dengan memukul dan memaki hamun isterinya dihadapan dirinya. Selain itu, katanya dia (menantu) turut memaksa anaknya mengadakan hubungan kelamin, walaupun mereka telahpun berpisah kerana percaya tindakannya melafazkan talak terhadap bekas isterinya tidak wujud. Menantu katanya, pernah mengugut untuk membunuh isteri dan dirinya kerana bimbang isterinya akan berkahwin lain, jika mereka ditakdirkan berpisah. “Walaupun sering memberi alasan menyesal selepas perbuatannya itu, dia seolah-olah tidak pernah serik dan semakin kerap membelasah isterinya walaupun atas kesilapan kecil. “Lebih perit, isterinya yang baru berusia 23 tahun itu pernah ditendang hingga terjatuh ketika sedang mengandung enam bulan. “Isterinya juga turut dituduh mengandungkan anak luar nikah walaupun tidak pernah sekalipun wanita itu berganjak dari sisinya sejak berkahwin dua tahun lalu,” katanya. Menurut Esah, sepanjang usia perkahwinan anaknya, lelaki itu sering menuduh isterinya memiliki ‘teman istimewa’ tanpa usul periksa. Malah, katanya isterinya yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di utara tanah air turut pernah diserang dan dibelasah lelaki terbabit di hadapan pesakit ketika sedang bertugas. “Walaupun berkali-kali isterinya menafikan kewujudan pihak ketiga, lelaki itu enggan percaya dan mengalih perhatian dengan menuduh saya (mentua) pula sebagai perosak rumah tangga hanya kerana cuba untuk menenangkan keadaan. “Ibu mana yang tidak sedih melihat anak sendiri diperlakukan seperti binatang, ditendang dan ditampar kerana enggan mengikut kemahuannya” katanya. Katanya, bekas menantunya akan menggunakan taktik sama dengan memujuk rayu, malah pernah sujud di kakinya dan menangis seperti kanak-kanak hingga sesiapa yang mendengar rintihannya akan terpedaya. Pelbagai alasan seperti sudah bertaubat dan berubah demi anak diluahkan setiap kali sedar daripada perbuatan kejinya itu. “Setiap perbuatannya terhadap saya dan anak, kami diamkan saja kerana percaya dia mampu berubah, tapi janjinya bohong semata-mata” katanya yang serik dengan janji kosong lelaki itu. Bimbang kejadian sama terus berulang, kedua beranak itu kini trauma dan hidup umpama pelarian dan terpaksa menumpang di rumah saudara-mara di seluruh negara, sejak awal minggu lalu bagi mengelak daripada dikesan. Atas nasihat saudara-mara, kedua beranak terbabit membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (Georgetown) Pulau Pinang, bulan lalu.

Saturday, April 10, 2010

Belaian Lelaki Jambu

Belaian lelaki jambu
Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN, SHAMRAN SARAHAN dan MURSHID EUNOS
KUALA LUMPUR: Ketika usaha pembanterasan banyak ditumpukan terhadap gadis urut yang menawarkan khidmat seks, ramai mungkin terlepas pandang terhadap ‘jejaka urut’ yang turut menyediakan khidmat serupa terhadap golongan sejenis yang bernafsu songsang.

JIJIK...pakej unik dan pelik.

Seorang pelanggan tetap sebuah pusat urut untuk golongan gay yang hanya mahu dikenali sebagai Daniel, 30, mendedahkan kepada Metro Ahad, khidmat disediakan di premis yang sering dikunjunginya adalah pelbagai dan lebih ‘advanced’ daripada rumah urut biasa. Menurutnya, kewujudan pusat urut gay bukan perkara baru dan ia juga bukan beroperasi secara sembunyi atau eksklusif, sebaliknya sesiapa saja boleh mengunjunginya dan mendapatkan maklumat mengenai khidmat ditawarkan. “Tanya saja di kaunter dan pelanggan akan diberi penerangan pakej urut disediakan. Urut tradisional biasa memang ada, tetapi mereka akan mempromosi pakej yang namanya unik dan pelik. “Sekurang-kurangnya tiga teknik disediakan. Ada ‘king massage’ yang menyediakan dua tukang urut sekali gus, badan ke badan, urut tanpa seurat benang dan semua pakej itu boleh diselitkan dengan khidmat urut menggunakan lidah dengan bayaran tambahan,” katanya. Daniel berkata, pemilihan satu daripada pakej berkenaan jika disertakan dengan urutan menggunakan lidah memang ‘berbisa’. “Biasanya saya memilih pakej ‘king massage’ dengan bayaran RM150 sejam. Untuk pakej ini ‘macam-macam’ boleh dilakukan, termasuk teknik ‘lidah berbisa’. “Minta saja pada tukang urut dan bayar lebih sedikit antara RM50 hingga RM70, saya mendapat khidmat berkenaan. Bukan saja jilat, nak suruh gigit pun boleh. Semuanya sekadar mahu memuaskan nafsu,” katanya selamba sambil mengakui pernah juga mencuba teknik badan ke badan dan urut tanpa seurat benang. Seorang lagi kaki urut gay mengatakan, bukan seorang atau dua tukang urut tetapi tidak kurang 10 tukang urut ‘jejaka jambu’ bersedia memberi perkhidmatan pelik dan di luar imaginasi di sebuah pusat urut di sini.
“Sepanjang dua tahun saya buat kerja ini (melanggan tukang urut gay), semua boleh buat. Ini kerana tukang urut itu juga bernafsu songsang macam kami dan mereka mementingkan wang,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Zack, 28. Menurut Zack, dia turut menggemari pakej urutan yang disertakan dengan urut menggunakan lidah, namun tidak mahu menceritakan lebih lanjut kerana tidak manis dibicarakan secara terbuka. “Faham-faham sajalah,” katanya.
Dia turut memberitahu, sekurang-kurangnya tiga pusat urut gay terkenal di Kuala Lumpur menyediakan khidmat itu. “Pusat urut gay tidak seperti pusat urut biasa. Tukang urut dipilih menerusi album atau gambar disusun di dinding. Beritahu mana yang berkenan pada penjaga kaunter. Kebanyakan tukang urut disediakan berwajah ‘jambu’,” katanya. Berdasarkan maklumat diberi Daniel dan Zack, wartawan Metro Ahad berkunjung ke tiga pusat urut yang sering dikunjungi dua lelaki ‘songsang’ itu dan seperti dimaklumkan dan terbukti, khidmat seperti ‘king massage’, badan ke badan, urut tanpa seurat benang, malah urut menggunakan lidah, memang ditawarkan. “Kalau ambil pakej ‘king massage’, apabila di dalam bilik, terpulang antara awak dengan tukang urut. Urutan ini memang ada ekstra... terpulang, sama ada nak suruh urut pakai lidah pun boleh. “Sama juga dengan urut badan ke badan, urut tanpa seurat benang... bayar lebih boleh urut dengan lidah. Budak-budak itu (tukang urut) memang biasa beri khidmat itu,” kata penjaga kaunter sebuah pusat urut gay. Kunjungan ke dua lagi pusat urut turut mendapat reaksi sama, cuma kaedah memperkenalkan tukang urut berbeza. Ada yang meletakkan gambar tukang urut di album dan ada yang digantung di dinding. Memualkan apabila ‘lelaki jambu’ yang ditawarkan bergambar dalam keadaan tidak berbaju, kononnya seksi.

Bergelut Di Halaman

Bergelut di laman rumah
Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim
KUALA LUMPUR: Tidak ubah seperti filem aksi, dua peragut bersenjatakan parang panjang nekad menyerang seorang wanita warga emas selepas melompat pagar dan menyerang mangsa di halaman rumahnya sendiri.Malah, seorang daripada peragut terbabit dipercayai sudah mengekori mangsa yang sebelum itu berjoging di taman permainan tidak jauh dari kediamannya di Jalan Ipoh di sini, kelmarin. Aksi nekad kedua-dua penjenayah terbabit ketika menyamun wanita berkenaan berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kediaman mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk membantu siasatan. Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, mangsa, Rose Mary Joseph, 63, pada awalnya tidak mengesyaki apa-apa, namun mula berasa curiga apabila mendapati kedua-dua lelaki bermotosikal terbabit berulang kali mengelilingi kawasan perumahan itu. Tanggapan mangsa nyata tepat apabila kedua-dua penjenayah itu mengekorinya sehingga ke halaman rumah. Jurucakap polis berkata, selepas menyedari lelaki terbabit mengancam keselamatan dirinya dan mula bertindak ganas, mangsa terus meluru ke perkarangan rumahnya. “Sebaik tiba di luar pagar rumah, pembantu rumah mangsa sedang menyidai pakaian di ampaian, namun mangsa yang ketakutan memanjat pagar untuk memasuki halaman rumahnya dengan harapan tidak sempat diapa-apakan peragut terbabit.
“Bagaimanapun, sangkaannya meleset apabila seorang daripada peragut terbabit yang memakai topi keledar terus mengejar dan turut memanjat pagar memasuki kediamannya,” katanya.
Beliau berkata, penjenayah yang bersenjatakan parang kemudian mengacukan senjata itu ke arah mangsa sebelum mengarahkannya menyerahkan barangan berharga dimiliki dan pada masa sama, rakan suspek yang menunggang motosikal menunggu di luar pagar kediaman berkenaan dengan lengkap bertopi keledar.Difahamkan, pembantu rumah mangsa meluru masuk ke rumah dan menguncinya dari dalam, sebaik melihat majikannya diserang peragut terbabit, dipercayai kerana terlalu takut. Mangsa hanya mampu menyerahkan barangan berharga dimilikinya selain merayu agar tidak diapa-apakan penjenayah yang bertindak rakus menyamunnya dengan bersenjatakan parang panjang. “Ekoran kejadian itu, mangsa kerugian kira-kira RM4,000 termasuk dua rantai leher, dua gelang tangan dan rantai kaki,” katanya.Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Jinjang, semalam berhubung kejadian berkenaan dan keterangannya sudah diambil pegawai penyiasat. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, yang mengunjungi Balai Berita, di sini malam tadi, untuk menyertai perlawanan futsal persahabatan antara Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sentul dengan wartawan Harian Metro, mengesahkan kejadian berkenaan. “Orang ramai dinasihatkan tidak memakai barang kemas atau membawa wang dalam jumlah yang banyak ketika berjoging atau melakukan aktiviti luar bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran peragut atau penyamun,” katanya.

Friday, April 9, 2010

Jaja 'Daging Hidup'

Jaja ‘daging hidup’
Oleh Abdullah Wahab
KLANG: Sebuah kedai makan di kawasan ternakan ayam daging di Ladang Kelapa Sawit, Telok Gong, Pandamaran di sini disifatkan ‘unik’ kerana selain menjual makanan dan minuman, ia turut menyediakan perkhidmatan sampingan dengan menyediakan gadis warga China sebagai teman istimewa.
TAHAN...empat wanita warga China yang ditahan dalam serbuan, semalam.

Perkhidmatan itu bagaimanapun terhad kepada beberapa ketika, malah pengusaha terbabit akan menutup sementara premis terbabit sekiranya mengetahui kehadiran pihak berkuasa.
Bagaimanapun, kegiatan peniaga terbabit dihidu pihak berkuasa sebelum serbuan dibuat bermula jam 12 malam semalam dan berakhir kira-kira dua jam kemudian. Operasi itu diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintendan Roslan Ibrahim bersama 18 anggota hasil maklumat orang ramai. Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata polis menahan empat wanita warga China ketika sibuk melayan lapan pelanggan. Turut ditahan seorang lelaki dan wanita tempatan dipercayai penjaga mereka dan semua mereka dibawa ke IPD Klang untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat terdapat 10 wanita warga asing menjalankan kegiatan tidak bermoral di kawasan itu sebelum polis mengatur strategi bagi memberkasnya.
“Kami percaya premis terbabit mula beroperasi sejak setahun lalu dengan membuka dan menutup perniagaan mengikut kesesuaian masa bagi mengelakkan kegiatan mereka dikesan.
“Namun, kami dapat menahan empat wanita warga China berusia dalam 20-an manakala selebihnya dipercayai sudah dibawa keluar pelanggan lebih awal untuk berhibur di lokasi lain,” katanya di sini, semalam. Kedudukan kawasan terbabit agak tersorok jauh dalam hutan berhampiran kawasan menternak ayam daging dan hanya boleh dimasuki melalui jalan tidak berturap. Mohamad berkata, semua wanita warga asing itu kini ditahan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 kerana bekerja tanpa permit manakala penjaga mereka pula ditahan mengikut akta sama kerana melindungi warga asing. “Kami akan meminta kerjasama Majlis Perbandaran Klang (MPK) untuk mengenal pasti sama ada premis itu beroperasi secara sah kerana kami tidak menjumpai lesen atau sebarang permit,” katanya.

Bernikah di ICU

Hajat terakhir mama
Oleh Muhd Izawan Baharin, Shamsul Munir Safini dan Asmah Rusman
KUALA LUMPUR: “Saya masih ingat senyuman mama,” kata Mohd Shahril Khairudin selepas melangsungkan pernikahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, demi menunaikan hajat terakhir ibunya yang dirawat kerana menghidap barah.Keputusan untuk melangsungkan pernikahan itu dibuat selepas keluarga kedua-dua pihak mendapati keadaan Enchon Baharudin, 53, makin tenat selepas mendapatkan rawatan kerana menghidap barah rahim pada 1 April lalu. Impian ibu pengantin lelaki itu akhirnya tertunai apabila anak tunggalnya, Mohd Shahril, 27, selamat diijabkabulkan dengan Khaizura Khalid, 27, pada majlis ringkas bersebelahan katilnya di wad ICU pada jam 5 petang, 1 April lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.50 pagi keesokannya . Menceritakan kembali kenangan terakhir bersama ibu tersayang, Mohd Shahril berkata sebelum dimasukkan ke wad, Allahyarham begitu teruja untuk menerima menantu, malah merancang segala persiapan majlis persandingan. “Mama bagaimanapun dimasukkan ke ICU selepas doktor mendapati keadaannya terlalu lemah ketika dia datang untuk membuat pemeriksaan darah di PPUM pada 1 April. Keadaannya bertambah buruk menyebabkan kedua-dua keluarga bersetuju mempercepatkan majlis akad nikah yang sepatutnya berlangsung 3 April iaitu tarikh yang ditetapkan mama sempena tarikh perkahwinannya dengan papa. “Saya tak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan ketika akad nikah. Majlis itu pun dilangsungkan secara ringkas kira-kira 10 minit kerana kadi hanya melaksanakan syarat wajib nikah. Mata saya hanya memandang mama di katil dan saya masih ingat senyumannya selepas saya bergelar suami,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kepong di sini, semalam. Menurutnya, sebelum melangsungkan akad nikah, dia memohon maaf dan meminta restu ibunya kerana tidak dapat mengikuti semua perancangan yang diatur Allahyarham. “Mama hanya berpesan dia mahu memakai baju kurung yang memang khas untuk majlis akad nikah saya tapi disebabkan keadaan agak kelam-kabut, kami tak sempat membawanya dari rumah. “Walaupun terlalu sedih kerana kehilangan ibu pada hari bahagia, saya tetap lega kerana mampu menunaikan hasratnya untuk melihat saya diijabkabulkan,” katanya yang akan melangsungkan majlis persandingan, Sabtu ini. Khaizura pula berkata, kebiasaannya bakal pengantin akan berdebar sebelum menamatkan zaman bujang tapi lain pula terjadi pada dirinya apabila kesedihan menyelubunginya pada hari bahagia. “Memang sedih apabila orang tersayang ‘pergi’ ketika kita sedang bahagia, apatah lagi saya hanya sempat memanggil arwah sebagai ibu dalam tempoh tidak sampai 24 jam,” katanya. Menurutnya, Allahyarham memang pandai menyimpan rahsia, malah tidak pernah membuka mulut mengenai penyakit dideritainya. “Kami hanya mengetahui arwah menghidap barah sebaik bertanya sendiri doktor pada Januari lalu selepas dia beberapa kali mengelak memberitahu keadaan kesihatan sebaliknya hanya mengadu gastrik. “Arwah tetap berahsia mengenai penyakitnya walaupun hubungan kami sebelum ini amat rapat, malah semasa dimasukkan ke ICU PPUM, barahnya sudah berada di tahap keempat,” katanya. Suami Allahyarham, Khairudin Mohd Rodzi, 55, bersyukur Allah memudahkan majlis akad nikah itu walaupun dilakukan dalam ICU. “Saya amat berterima kasih kepada pengurusan PPUM yang memberi kerjasama serta keizinan kepada kami untuk majlis akad nikah itu,” malah semasa ia berlangsung, ramai yang menghadirinya,” katanya.

Wednesday, April 7, 2010

Amaran Tsunami

Amaran tsunami di pantai barat ditarik balik
Apr 7, 10 8:46am
Jabatan Kajicuaca Malaysia telah mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Perlis, Pulau Pinang dan Kedah ekoran gempa bumi dengan kekuatan 7.5 skala Richter yang melanda Utara Sementara - 448km di barat daya Pulau Pangkor. Berikutan itu, orang ramai diarahkan supaya menjauhi kawasan pantai. Bagaimanapun lebih sejam kemudiannya, jabatan berkenaan kemudiannya menarik balik amaran tsunami tersebut. Agensi berita Associate Press (AP) memetik jabatan geologi AS sebagai berkata gempa bumi itu berlaku pada jam 5.15 pagi dan berpusat di 205km ke barat laut Sibolga di Sumatra pada kedalaman 46km.Agensi Kajicuaca dan Geofizik Indonesia telah mengeluarkan amaran tsunami ekoran gempa bumi tetapi membatalkannya beberapa jam kemudiannya. Manakala gegaran gempa bumi tersebut dilaporkan turut dirasai oleh penduduk yang tinggal di pangsapuri dan bangunan tinggi di Petaling Jaya.

Monday, April 5, 2010

Denggi Berdarah

Denggi berdarah boleh membawa maut
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Nyamuk Aedes aktif melakukan gigitan pada pada waktu pagi dan senja.
MINGGU ini kita dikejutkan dengan berita pemergian pelawak dan penyampai radio, Allahyarham Mior Ahmad Fuad Mior Badri atau lebih mesra dengan panggilan Din Beramboi. Sebelum ini, Din Beramboi dikatakan terkena penyakit bawaan bakteria air kencing tikus ketika menjalani penggambaran di Zoo Negara.
Bahkan deejay radio Era FM itu turut menghidapi penyakit denggi berdarah yang menyebabkan organ dalamnya gagal berfungsi dan menghadapi pendarahan dalaman.
Pihak hospital memaklumkan organ penting seperti buah pinggang dan hati gagal berfungsi. Darahnya juga telah menjadi masam dan dijangkiti kuman dan bertambah buruk apabila dia dijangkiti denggi berdarah.
Pada hari Jumaat yang lalu Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Unit Rawatan rapi (ICU), Hospital Selayang. Kejadian ini sedikit sebanyak menyedarkan kita tentang perlunya pengetahuan penyakit seperti denggi berdarah. Mungkin ramai antara kita yang sudah biasa mendengar tentang denggi namun ramai yang tidak mengetahui lebih mendalam tentang penyakit ini. Minggu ini kita bersama Pakar Perubatan dan Gastroenterologi Pusat Perubatan Kelana Jaya, Dr. Abdul Malik Jamal Buhari untuk mengetahui lebih lanjut tentang denggi berdarah.
Apa itu denggi?
Penyakit denggi merupakan penyakit berjangkit yang berbahaya dan boleh membawa maut kerana sehingga hari ini belum ada ubat atau penawar untuk mengubati penyakit ini. Denggi boleh terjadi di kalangan orang dewasa dan kanak-kanak akibat daripada gigitan nyamuk aedes.
Penyakit ini biasanya berlangsung selama sepuluh hari dan kadangkala mengambil masa lama untuk pulih sepenuhnya. Penyakit ini kerap berlaku di kawasan bandar berbanding dengan luar bandar.
Penyakit denggi disebabkan oleh sejenis kuman virus yang dipanggil virus denggi. Virus ini tergolong di dalam keluarga togaviridae. Ia merupakan virus yang berkembang biak dalam serangga. Terdapat 4 jenis serotype virus yang telah dikenalpasti iaitu den 1, den 2, den 3 dan den 4. Semua jenis serotype ini boleh merangsang pembentukan antibodi yang berbeza.
Namun begitu, kekebalan yang dihasilkan oleh pertahanan badan tidak menyeluruh terhadap semua jenis virus denggi. Ia akan hanya melindungi individu untuk jenis virus tersebut sahaja. Virus ini masuk ke dalam peredaran darah manusia melalui gigitan nyamuk aedes dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat sahaja iaitu empat hingga lima hari pada tahap awal penyakit.
Nyamuk aedes merupakan pembawa bagi kuman virus denggi. Gigitan nyamuk merupakan satu cara penyebaran virus denggi dari seorang ke seorang yang lain. Daripada satu gigitan ia boleh menghisap darah sebanyak dua hingga empat miligram darah iaitu 1.5 kali berat badannya.
Cara penyebarannya ialah melalui gigitan nyamuk aedes orang yang berpenyakit virus denggi kepada orang yang sihat. Terdapat dua jenis denggi yang paling berat iaitu Demam Hemoragik Denggi (DHF) dan Sindrom Kejutan Denggi (DSS).
Terdapat dua jenis penyakit denggi iaitu:
i) Demam denggi klasikal.
Pesakit menunjukkan gejala demam, ruam, sakit badan, sakit sendi dan sakit otot. Gejala penyakit ini biasanya tidak teruk dan jarang menyebabkan kematian. Demam jenis ini juga pernah dinamakan 'demam patah tulang' atau breakbone fever.
ii) Demam denggi berdarah.
Biasanya terjadi di kalangan kanak-kanak terutama dalam lingkungan umur 2-13 tahun. Pada tahap awal (selama 2-4 hari) gejala yang dihidapi adalah sama seperti demam denggi klasikal dan diikuti oleh tahap yang lebih teruk dengan gejala seperti tekanan darah rendah, ruam dan bintik-bintik merah di badan, perdarahan gusi, berak berdarah (najis berwarna hitam) disertai dengan sawan dan tidak sedar diri. Ia sering menyebabkan kematian jika rawatan tidak diberikan dengan segera. Ia juga dipanggil sebagai 'demam berdarah Filipina'.
Tanda-tanda atau gejala:
1. Demam denggi klasikal
Tanda-tanda demam denggi ini bergantung kepada usia pesakit tersebut. Bagi bayi atau kanak-kanak ciri utama ialah ruam yang disertai oleh demam panas. Manakala orang dewasa dan remaja pula demam kuat yang muncul dengan tiba-tiba yang berlangsung selama 2-7 hari, sakit kepala, sakit di belakang mata, sakit otot dan sendi yang diikuti oleh ruam yang timbul pada hari ketiga hingga keempat. Bintik-bintik merah di bawah kulit juga boleh didapati. Dan hasil daripada ujian makmal menunjukkan jumlah leukosit dan platlet dalam darah menurun.
2. Demam denggi berdarah
Demam denggi berdarah mempunyai 4 ciri klinikal utama seperti demam yang sangat panas, perdarahan, pembesaran hati dan kegagalan sistem peredaran darah. Perdarahan yang berlaku adalah seperti bintik-bintik merah di bawah kulit, perdarahan hidung, gusi, darah dalam najis (najis berwarna hitam), kencing berdarah dan kadang kala mendapat haid yang berlebihan.
Pembesaran hati terjadi pada peringkat awal penyakit. Pembesaran hati ini boleh mencapai dua hingga empat sentimeter di bawah tulang rusuk kanan. Kegagalan atau gangguan peredaran ditunjukkan melalui tanda-tanda seperti kesejukan dan kongesti kulit, kebiruan dan peningkatan kadar nadi. Mereka juga kelihatan resah dan lemah dan kemudian dengan cepat mengalami renjatan atau sawan. Keadaan ini juga dipanggil sebagai Dengue Shock Syndrome (DSS).
Setakat ini tiada rawatan yang spesifik bagi membunuh virus denggi. Namun begitu antara rawatan yang biasa dilakukan untuk membantu pesakit deman denggi ialah:
Rawatan:
Rawatan demam denggi klasikal:
Rawatan yang diberi adalah untuk menstabilkan pesakit bergantung kepada keadaan pesakit iaitu mengurangkan demam (suhu badan) dan mengelakkan dari perdarahan berlaku.
Rawatan demam denggi berdarah:
Demam yang sangat panas, kehilangan selera makan dan muntah menyebabkan dehidrasi. Pesakit digalakkan supaya minum air lebih banyak. Demam yang sangat panas juga meningkatkan risiko terjadinya sawan, oleh itu demam patut dikawal dengan antipiretik. Selain itu, pesakit akan diawasi supaya gejala perdarahan dan sawan dapat dikesan awal. Dan masa yang paling genting ialah pada hari ketiga hingga hari ketujuh. Maka pemberian aliran intravena perlu jika sekiranya kiraan hematokrit meningkat kerana ini menggambarkan darjah kehilangan plasma.
Apakah yang akan terjadi sekiranya saya tidak mendapatkan rawatan?
Demam denggi berdarah mempunyai tanda-tanda di atas dan juga pendarahan seperti:
l Mudah lebam
l Pendarahan di bawah kulit, pada hidung atau gusi
l Ia boleh diikuti dengan pendarahan seluruh badan yang juga membawa maut
Sifat nyamuk Aedes
l Gigitan pada waktu pagi dan senja. (5 pagi - 8 pagi dan 5 petang - 8 malam)
l Bertelur dalam air mati yang jernih.

Akibat Mancis

Akibat mancis, rumah musnah
Gambar Hiasan
KUANTAN - Gara-gara kelekaan seorang kanak-kanak bermain mancis di dalam bilik, sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah itu dijilat terbakar dalam kejadian petang semalam. Rumah yang didiami sembilan sekeluarga di Kampung Baru musnah sama sekali malah tiada sebarang barang dapat diselamatkan oleh ahli keluarga ketika kejadian. Menurut penyewa rumah itu, S Parwaty, 40, dia tiada di rumah ketika kejadian kerana bekerja di restoran di bandar. “Suami saya, Murugan, 40, datang mengambil saya dan memberitahu rumah yang kami sewa sejak dua tahun lalu terbakar. Saya terkejut apabila sampai di rumah dan melihat rumah kami sudah musnah dalam sekelip mata. “Buat sementara waktu, kami akan tinggal di dewan malah sebarang keperluan seperti pakaian dan makanan tidak ada. Saya juga tidak dapat berfikir apa-apa,” katanya ketika di temui di tempat kejadian. Anaknya, M. Rajeshwari, 23, yang berada di rumah ketika kejadian berkata, dia menyedari kebakaran itu apabila melihat api marak dari bilik belakang tanpa dapat berbuat apa-apa kerana terkejut. “Sebelum itu saya berada di ruang tamu bersama anak saya, tetapi tidak mengesyaki apa-apa apabila adik bongsu, M. Chandran, 4, tiada bersama. “Tetapi apabila melihat api marak dari bilik belakang, saya terus terfikir adik yang mungkin berada di dalam bilik itu. Tanpa berfikir panjang, saya meredah masuk ke dalam bilik dan membawa adik keluar,” katanya ketika di temui di sini. Rajeshwari berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang adiknya yang lain selain ayah, Murugan, 47, berada di rumah itu. “Api merebak dengan cepat membuatkan kami tidak sempat menyelamatkan malah jiran turut membantu usaha memadam api sebelum pihak Bomba dan Penyelamat tiba,” katanya. Pegawai Operasi, Mohd Ikhsan Mohd Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.42 petang dan bergegas ke tempat kejadian dua jentera bomba dengan 19 anggota berjaya memadam api dalam tempoh 15 minit. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Hong Seong berkata, beliau sudah melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan segera disediakan. “Bantuan segera seperti makanan dan pakaian disediakan malah jiran juga ada turut memberikan sumbangan. “Buat sementara waktu mereka sekeluarga di tempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru sebelum saudara mara mereka datang mengambil,” katanya.

Sunday, April 4, 2010

Mesyuarat Persatuan Penduduk


Khidmat Urut

'Saya bukan pelacur'
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
KUALA LUMPUR: Dia cukup dikenali di kalangan artis lelaki tempatan termasuk pelakon dan penyanyi daripada program realiti serta golongan korporat kerana kepakarannya memulihkan masalah lemah tenaga batin.
TERIMA TEMPAHAN...Lia menerima panggilan telefon daripada pelanggan lelaki yang mahukan perkhidmatan urutan batin.
Tidak hairanlah wanita tukang urut ini mendakwa pernah melakukan urutan batin terhadap lebih 1,000 pelanggan lelaki yang kemaruk teknik urutan istimewa ditawarkannya.Wanita ini bukan calang-calang tukang urut kerana mendakwa mempunyai kepakaran khusus bagi menambah kekuatan syahwat lelaki berikutan ilmu dipelajari melalui beberapa `guru’ berpengalaman. Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Lia, 43, mendakwa langsung tidak berasa jijik terhadap kerja dilakukan dengan alasan tugasnya hanya untuk membantu lelaki yang menghadapi masalah lemah tenaga batin. Lebih mengejutkan, apabila suaminya yang bekerja di sebuah badan berkanun langsung tidak mengetahui aktiviti dilakukan kerana menyangka wanita terbabit sekadar bekerja sebagai bidan serta tukang urut wanita baru bersalin. Lia berkata, kerjayanya sebagai tukang urut bermula kira-kira 12 tahun lalu selepas diajak bekerja oleh rakannya di sebuah pusat urutan di Pandan Jaya, Ampang. Menurutnya, dia yang ketika itu masih muda dan naif tertarik dengan pekerjaan itu selepas ditawarkan pendapatan sehingga RM2,000 sebulan. “Saya mulanya menyangka ia sekadar urutan tradisional biasa, namun terkejut apabila pemilik pusat urutan tradisional terbabit memberitahu saya perlu melakukan urutan batin bagi mendapatkan lebih komisen. "Walaupun kekok dan malu, selepas diajar serta diberikan `kelas’ bimbingan oleh beberapa pekerja senior, saya mulai biasa dengan tugas itu,” katanya selepas dipujuk wartawan menceritakan pengalaman kerjayanya. Menurutnya, bagi setiap bayaran urutan batin dilakukan, pelanggan membayar tambahan RM50 selain kos urutan RM60. “Daripada bayaran RM50 bagi urutan batin, saya menerima komisen RM20 manakala baki RM30 lagi diambil tauke. “Ada kalanya ada pelanggan lelaki datang bukan untuk mengurut badan, namun semata-mata untuk merasai urutan batin hingga sanggup membayar sekali ganda harga perkhidmatan ditetapkan,” katanya. Namun, selepas bekerja selama lima tahun, dia berasakan kerjayanya seolah-olah dikongkong, apatah lagi dengan gaji yang masih di takuk lama selain keuntungan diperoleh hasil komisen `dirembat’ tauke. “Atas nasihat rakan saya berpindah dari satu rumah urut ke rumah urut lain sebelum akhirnya mengambil keputusan bergiat secara solo berikutan sudah mempunyai ratusan pelanggan tetap yang hanya perlu menghubungi saya melalui telefon. “Saya akan dihubungi melalui telefon bimbit untuk tempahan sama di bilik hotel, pangsapuri atau di pusat urut milik rakan di Greenwood, Gombak,” katanya.
Menurutnya, dia hanya menawarkan urutan badan dan batin tanpa membabitkan hubungan seks. “Bukan tiada pelanggan sanggup membayar lebih jika saya bersetuju melakukan aksi ranjang, namun saya menolak dengan baik kerana tidak mahu merosakkan profesion dan dilabelkan pelacur. “Saya masih ada maruah dan hanya melakukan tugas mengurut tubuh terutama bahagian saraf tertentu pada kemaluan lelaki yang mampu memulihkan keinginan syahwat `lembik’ selain mengembalikan kejantanan,” katanya. Menurutnya, ada antara artis lelaki yang datang berurut dengannya mengalami masalah `mati pucuk’ ketika usia muda kerana terlalu kerap melakukan onani atau terbabit seks bebas sejak usia belasan tahun.
“Selepas tiga hingga lima kali menjalani rawatan, kebanyakan mereka mampu pulih seperti sedia kala dan berpuas hati dengan khidmat saya,” katanya sambil sibuk mengangkat panggilan telefon daripada pelanggan. Lia berkata, ramai masyarakat tersalah anggap kerana menyangka kerjayanya tidak ubah seperti `pelacur’ berikutan sanggup memegang kemaluan lelaki untuk melakukan urutan batin. “Semua yang saya lakukan (urutan batin) bukan ‘semberono’ kerana ia dilakukan mengikut langkah demi langkah dimulai dengan urutan pada bahagian perut, paha, pinggang dan bahagian bawah pusat menggunakan minyak urut khas. “Ia diikuti urutan pada bahagian pangkal kemaluan yang dilakukan dengan berhati-hati bagi memastikan urat darah yang tersimpul kembali lancar,” katanya. Menurutnya, dia mampu memperoleh sehingga RM100 bagi pelanggan biasa dan RM200 bagi pelanggan istimewa terutama di kalangan selebriti. Adakalanya dia mampu memperoleh pendapatan sehingga RM4,000 sebulan hasil kerja itu. Ibu kepada tiga cahaya mata itu bagaimanapun cukup berahsia dan enggan mendedahkan identiti pelanggan di kalangan artis yang pernah mendapatkan khidmat urutan batin dengannya kerana berpegang kepada janji dan prinsip. “Jika saya sebut nama artis berkenaan, pasti satu Malaysia mengenalinya, namun saya sudah berjanji merahsiakan nama mereka atas dasar bisnes,” katanya.

Saturday, April 3, 2010

Pemandu Asyik SMS

Pemandu asyik SMS
Oleh Zulfa Mohamad dan Mohamad Danial Mohamad Saad
BANDAR BAHARU (KEDAH): “Pemandu itu asyik hantar SMS walaupun sedang memandu laju menyebabkan bas bergerak ke kiri dan ke kanan.

MAUT...anggota bomba dan penyelamat mengusung mayat V Ponnamal (gambar) yang maut dalam kemalangan itu.

REMUK...Sabarudin menunjukkan keadaan bas yang remuk.

“Sebaik sampai berhampiran simpang Bandar Baharu, dia tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan bas terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik dalam longkang,” kata Aidi Efendey Abdul Razak, 30, seorang daripada 18 penumpang bas ekspres yang terbabas di Kilometer 168.8 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi, seorang wanita maut manakala 12 penumpang lain cedera termasuk dua parah. Penumpang yang terbunuh dikenali sebagai V Ponnamal, 56, manakala penumpang yang cedera dirawat di Hospital Parit Buntar. Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kedah. Aidi Efendey berkata, dia berasa tidak sedap hati sejak bas berkenaan tiba di Sungai Buloh lagi sebaik melihat gelagat pemandunya, selain ragu-ragu kerana tiada pemandu kedua. “Apabila saya bertanyakan pemandu kedua, dia kata tak ada kerana hanya dia seorang memandu dari Kuala Lumpur ke Butterworth,” katanya yang tinggal di Guar Perahu, Bukit Mertajam. Katanya, dia nampak pemandu terbabit asyik membelek telefon bimbit sebelum kemalangan berlaku. Menurutnya, selepas berhenti mengambil lima lagi penumpang di Simpang Pulai, Perak, pemandu terbabit meneruskan perjalanan sambil menghantar SMS. Katanya, kemalangan itu menyebabkan ada penumpang tersepit di bawah bas dan parah di kepala selain ada yang tercampak keluar melalui tingkap. Aidi Efendey yang cedera di tangan serta kaki terpaksa merangkak keluar melalui pintu hadapan. “Saya hanya mampu melihat penumpang lain minta tolong kerana saya sendiri menahan kesakitan berikutan kaki terseliuh. “Kira-kira lima minit selepas kejadian, orang ramai muncul dan membantu mangsa. Mangsa yang tersepit hanya dapat dikeluarkan selepas anggota bomba tiba,” katanya. Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Bandar Baharu, Cif Inspektor Sabarudin Salleh, berkata sebelum kejadian, pemandu bas berkenaan disaman polis dalam satu operasi kerana memandu melebihi had laju di Kilometer 327 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah kira-kira jam 10.39 malam. “Bas berkenaan dipercayai dipandu laju hingga gagal dikawal sebelum terbabas dan kebanyakan mangsa yang parah dipercayai akibat hentakan kuat selain terkena serpihan cermin yang pecah. “Polis menerima maklumat kira-kira jam 1.15 pagi dan siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain. “Bas berkenaan bertolak pada jam 8.30 malam di Hentian Puduraya dan dipercayai berhenti beberapa kali, sebelum pemandu bas terbabit disaman dalam satu operasi polis di Tapah,” katanya. Sabarudin berkata, sehingga kini pemandu terbabit masih tidak hadir untuk membuat laporan polis. Katanya, pemandu bas yang dipercayai berusia 34 tahun dan tinggal di Bagan Jermal, Butterworth, itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. “Kita akan keluarkan waran tangkap jika pemandu terbabit gagal melaporkan diri kepada polis,” katanya. Beliau berkata, sehingga kini lima laporan polis dibuat penumpang yang terbabit kemalangan itu.

Sehidup Semati

Pasangan tua ditemui mati berpelukanGambar Hiasan
KUANTAN: Sehidup semati. Inilah gambaran tepat bagi sepasang suami isteri apabila mereka ditemui mati dalam keadaan berpelukan di dapur rumah di Kampung Peramu, dekat sini, petang semalam. Mayat Musa Daud, 64, dan isterinya, Aminah Nor, 65, ditemui jiran dan anak bongsunya, Suriati, 23, kira-kira jam 3 petang selepas mereka memecah masuk rumah itu melalui tingkap. Suriati yang tiba di rumah bapanya mendapati pintu rumah itu berkunci dari dalam serta tingkap tertutup rapat. Beliau bersama seorang jirannya mengesyaki sesuatu yang tidak kena di rumah ibu bapanya apabila terhidu bau yang kurang menyenangkan. Kelu lidah saya selepas dimaklumkan jiran itu ibu dan ayah ditemui mati berpelukan di dapur dalam keadaan lengkap berpakaian. Saya reda dengan ketentuan Ilahi yang menjemput ayah dan ibu saya pulang ke Rahmatullah, katanya yang tidak dapat menahan sebak selepas kehilangan dua insan tersayang, ketika ditemui di tempat kejadian, petang semalam. Suriati yang tinggal di Kampung Kempadang berkata, kali terakhir dia bertemu dengan bapanya pada Khamis lalu, dan arwah sempat bergurau dengan berkata kalau ayah mati, emak akan ikut sekali. Saya tidak sangka gurauan itu akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka ditemui mati berpelukan di dapur, katanya. Suriati berkata, jenazah arwah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Peramu selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.