Suami durjana
Oleh Amirul Haswendy Ashari
KUALA LUMPUR: Akibat cemburu, seorang pemandu lori berusia 31 tahun layak digelar ‘menantu hantu’ kerana bukan saja membelasah isterinya hampir setiap hari, malah tergamak memukul ibu mentuanya di depan ibu sendiri.Ketika kejadian, kedua besan terbabit sedang berbincang mengenai usaha untuk menjernihkan masalah yang dihadapi pasangan muda itu, di rumah sewa pasangan terbabit di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Difahamkan, pasangan yang mempunyai cahaya mata berusia lima bulan itu terpaksa berpisah sementara menanti keputusan mahkamah selepas lelaki itu melafazkan talak kali kedua beberapa minggu lalu. Bagaimanapun, lelaki itu tidak dapat menerima hakikat perpisahan dengan alasan masih menyayangi isteri dan anaknya walaupun dia pernah melafazkan talak tahun lalu. Mentua terbabit, yang hanya mahu dikenali sebagai Esah, 56, berkata menantunya itu pernah bertindak ganas dengan memukul dan memaki hamun isterinya dihadapan dirinya. Selain itu, katanya dia (menantu) turut memaksa anaknya mengadakan hubungan kelamin, walaupun mereka telahpun berpisah kerana percaya tindakannya melafazkan talak terhadap bekas isterinya tidak wujud. Menantu katanya, pernah mengugut untuk membunuh isteri dan dirinya kerana bimbang isterinya akan berkahwin lain, jika mereka ditakdirkan berpisah. “Walaupun sering memberi alasan menyesal selepas perbuatannya itu, dia seolah-olah tidak pernah serik dan semakin kerap membelasah isterinya walaupun atas kesilapan kecil. “Lebih perit, isterinya yang baru berusia 23 tahun itu pernah ditendang hingga terjatuh ketika sedang mengandung enam bulan. “Isterinya juga turut dituduh mengandungkan anak luar nikah walaupun tidak pernah sekalipun wanita itu berganjak dari sisinya sejak berkahwin dua tahun lalu,” katanya. Menurut Esah, sepanjang usia perkahwinan anaknya, lelaki itu sering menuduh isterinya memiliki ‘teman istimewa’ tanpa usul periksa. Malah, katanya isterinya yang bertugas sebagai jururawat di sebuah hospital di utara tanah air turut pernah diserang dan dibelasah lelaki terbabit di hadapan pesakit ketika sedang bertugas. “Walaupun berkali-kali isterinya menafikan kewujudan pihak ketiga, lelaki itu enggan percaya dan mengalih perhatian dengan menuduh saya (mentua) pula sebagai perosak rumah tangga hanya kerana cuba untuk menenangkan keadaan. “Ibu mana yang tidak sedih melihat anak sendiri diperlakukan seperti binatang, ditendang dan ditampar kerana enggan mengikut kemahuannya” katanya. Katanya, bekas menantunya akan menggunakan taktik sama dengan memujuk rayu, malah pernah sujud di kakinya dan menangis seperti kanak-kanak hingga sesiapa yang mendengar rintihannya akan terpedaya. Pelbagai alasan seperti sudah bertaubat dan berubah demi anak diluahkan setiap kali sedar daripada perbuatan kejinya itu. “Setiap perbuatannya terhadap saya dan anak, kami diamkan saja kerana percaya dia mampu berubah, tapi janjinya bohong semata-mata” katanya yang serik dengan janji kosong lelaki itu. Bimbang kejadian sama terus berulang, kedua beranak itu kini trauma dan hidup umpama pelarian dan terpaksa menumpang di rumah saudara-mara di seluruh negara, sejak awal minggu lalu bagi mengelak daripada dikesan. Atas nasihat saudara-mara, kedua beranak terbabit membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (Georgetown) Pulau Pinang, bulan lalu.
No comments:
Post a Comment