Hajat terakhir mama
Oleh Muhd Izawan Baharin, Shamsul Munir Safini dan Asmah Rusman
KUALA LUMPUR: “Saya masih ingat senyuman mama,” kata Mohd Shahril Khairudin selepas melangsungkan pernikahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini, demi menunaikan hajat terakhir ibunya yang dirawat kerana menghidap barah.Keputusan untuk melangsungkan pernikahan itu dibuat selepas keluarga kedua-dua pihak mendapati keadaan Enchon Baharudin, 53, makin tenat selepas mendapatkan rawatan kerana menghidap barah rahim pada 1 April lalu. Impian ibu pengantin lelaki itu akhirnya tertunai apabila anak tunggalnya, Mohd Shahril, 27, selamat diijabkabulkan dengan Khaizura Khalid, 27, pada majlis ringkas bersebelahan katilnya di wad ICU pada jam 5 petang, 1 April lalu sebelum menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.50 pagi keesokannya . Menceritakan kembali kenangan terakhir bersama ibu tersayang, Mohd Shahril berkata sebelum dimasukkan ke wad, Allahyarham begitu teruja untuk menerima menantu, malah merancang segala persiapan majlis persandingan. “Mama bagaimanapun dimasukkan ke ICU selepas doktor mendapati keadaannya terlalu lemah ketika dia datang untuk membuat pemeriksaan darah di PPUM pada 1 April. Keadaannya bertambah buruk menyebabkan kedua-dua keluarga bersetuju mempercepatkan majlis akad nikah yang sepatutnya berlangsung 3 April iaitu tarikh yang ditetapkan mama sempena tarikh perkahwinannya dengan papa. “Saya tak tahu bagaimana mahu menggambarkan perasaan ketika akad nikah. Majlis itu pun dilangsungkan secara ringkas kira-kira 10 minit kerana kadi hanya melaksanakan syarat wajib nikah. Mata saya hanya memandang mama di katil dan saya masih ingat senyumannya selepas saya bergelar suami,” katanya yang ditemui di rumahnya di Kepong di sini, semalam. Menurutnya, sebelum melangsungkan akad nikah, dia memohon maaf dan meminta restu ibunya kerana tidak dapat mengikuti semua perancangan yang diatur Allahyarham. “Mama hanya berpesan dia mahu memakai baju kurung yang memang khas untuk majlis akad nikah saya tapi disebabkan keadaan agak kelam-kabut, kami tak sempat membawanya dari rumah. “Walaupun terlalu sedih kerana kehilangan ibu pada hari bahagia, saya tetap lega kerana mampu menunaikan hasratnya untuk melihat saya diijabkabulkan,” katanya yang akan melangsungkan majlis persandingan, Sabtu ini. Khaizura pula berkata, kebiasaannya bakal pengantin akan berdebar sebelum menamatkan zaman bujang tapi lain pula terjadi pada dirinya apabila kesedihan menyelubunginya pada hari bahagia. “Memang sedih apabila orang tersayang ‘pergi’ ketika kita sedang bahagia, apatah lagi saya hanya sempat memanggil arwah sebagai ibu dalam tempoh tidak sampai 24 jam,” katanya. Menurutnya, Allahyarham memang pandai menyimpan rahsia, malah tidak pernah membuka mulut mengenai penyakit dideritainya. “Kami hanya mengetahui arwah menghidap barah sebaik bertanya sendiri doktor pada Januari lalu selepas dia beberapa kali mengelak memberitahu keadaan kesihatan sebaliknya hanya mengadu gastrik. “Arwah tetap berahsia mengenai penyakitnya walaupun hubungan kami sebelum ini amat rapat, malah semasa dimasukkan ke ICU PPUM, barahnya sudah berada di tahap keempat,” katanya. Suami Allahyarham, Khairudin Mohd Rodzi, 55, bersyukur Allah memudahkan majlis akad nikah itu walaupun dilakukan dalam ICU. “Saya amat berterima kasih kepada pengurusan PPUM yang memberi kerjasama serta keizinan kepada kami untuk majlis akad nikah itu,” malah semasa ia berlangsung, ramai yang menghadirinya,” katanya.
No comments:
Post a Comment