Perkosa rakan dalam kelas
Gambar Hiasan
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
RAWANG: Seorang pelajar lelaki tingkatan dua yang tidak dapat mengawal nafsu serakahnya sanggup menyerang dan memperkosa rakan sekelasnya dalam bilik darjah.Difahamkan pelajar terbabit mengambil kesempatan memperkosa mangsa yang juga penghuni sebuah rumah kebajikan ketika semua rakan sekelasnya keluar ke kantin ketika waktu rehat. Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah, berkata dalam kejadian jam 3.35 petang, Selasa minggu lalu, mangsa berada bersendirian dalam kelas bersama suspek yang dipercayai menunggu peluang untuk memperkosa mangsa. Menurutnya, suspek tiba-tiba menghampiri mangsa sebelum memperkosa dan meninggalkannya dalam kelas. Bagaimanapun, mangsa yang ketakutan dan malu enggan menceritakan apa yang berlaku kepada guru dan rakannya. “Mangsa yang tinggal di rumah kebajikan pulang dari sekolah sebelum menceritakan kisah hitam dialami kepada seorang kakitangan di rumah kebajikan berkenaan,” katanya. Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian itu hanya dibuat mangsa enam hari selepas kejadian dengan ditemani kakitangan rumah kebajikan berkenaan di Balai Polis Rawang. “Susulan laporan itu, polis menjalankan siasatan sebelum ke sekolah mangsa kira-kira jam 2 petang, kelmarin.“Polis menahan pelajar lelaki terbabit yang berada dalam kelas. Pelajar terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis daerah Gombak untuk siasatan lanjut,” katanya. Menurutnya, mangsa turut dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengesahkan dia diperkosa. “Kes terbabit kini masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana jenayah memperkosa,’ katanya.
No comments:
Post a Comment