MAUT...anggota bomba dan penyelamat mengusung mayat V Ponnamal (gambar) yang maut dalam kemalangan itu.
REMUK...Sabarudin menunjukkan keadaan bas yang remuk.
“Sebaik sampai berhampiran simpang Bandar Baharu, dia tiba-tiba hilang kawalan menyebabkan bas terbabas ke kiri jalan sebelum terbalik dalam longkang,” kata Aidi Efendey Abdul Razak, 30, seorang daripada 18 penumpang bas ekspres yang terbabas di Kilometer 168.8 Lebuh Raya Utara-Selatan di sini, pagi semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi, seorang wanita maut manakala 12 penumpang lain cedera termasuk dua parah. Penumpang yang terbunuh dikenali sebagai V Ponnamal, 56, manakala penumpang yang cedera dirawat di Hospital Parit Buntar. Ketika kejadian, bas itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kedah. Aidi Efendey berkata, dia berasa tidak sedap hati sejak bas berkenaan tiba di Sungai Buloh lagi sebaik melihat gelagat pemandunya, selain ragu-ragu kerana tiada pemandu kedua. “Apabila saya bertanyakan pemandu kedua, dia kata tak ada kerana hanya dia seorang memandu dari Kuala Lumpur ke Butterworth,” katanya yang tinggal di Guar Perahu, Bukit Mertajam. Katanya, dia nampak pemandu terbabit asyik membelek telefon bimbit sebelum kemalangan berlaku. Menurutnya, selepas berhenti mengambil lima lagi penumpang di Simpang Pulai, Perak, pemandu terbabit meneruskan perjalanan sambil menghantar SMS. Katanya, kemalangan itu menyebabkan ada penumpang tersepit di bawah bas dan parah di kepala selain ada yang tercampak keluar melalui tingkap. Aidi Efendey yang cedera di tangan serta kaki terpaksa merangkak keluar melalui pintu hadapan. “Saya hanya mampu melihat penumpang lain minta tolong kerana saya sendiri menahan kesakitan berikutan kaki terseliuh. “Kira-kira lima minit selepas kejadian, orang ramai muncul dan membantu mangsa. Mangsa yang tersepit hanya dapat dikeluarkan selepas anggota bomba tiba,” katanya. Sementara itu, Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Bandar Baharu, Cif Inspektor Sabarudin Salleh, berkata sebelum kejadian, pemandu bas berkenaan disaman polis dalam satu operasi kerana memandu melebihi had laju di Kilometer 327 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Tapah kira-kira jam 10.39 malam. “Bas berkenaan dipercayai dipandu laju hingga gagal dikawal sebelum terbabas dan kebanyakan mangsa yang parah dipercayai akibat hentakan kuat selain terkena serpihan cermin yang pecah. “Polis menerima maklumat kira-kira jam 1.15 pagi dan siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan tidak membabitkan kenderaan lain. “Bas berkenaan bertolak pada jam 8.30 malam di Hentian Puduraya dan dipercayai berhenti beberapa kali, sebelum pemandu bas terbabit disaman dalam satu operasi polis di Tapah,” katanya. Sabarudin berkata, sehingga kini pemandu terbabit masih tidak hadir untuk membuat laporan polis. Katanya, pemandu bas yang dipercayai berusia 34 tahun dan tinggal di Bagan Jermal, Butterworth, itu akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian. “Kita akan keluarkan waran tangkap jika pemandu terbabit gagal melaporkan diri kepada polis,” katanya. Beliau berkata, sehingga kini lima laporan polis dibuat penumpang yang terbabit kemalangan itu.
No comments:
Post a Comment