Akibat mancis, rumah musnah
Gambar Hiasan
KUANTAN - Gara-gara kelekaan seorang kanak-kanak bermain mancis di dalam bilik, sebuah keluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah itu dijilat terbakar dalam kejadian petang semalam. Rumah yang didiami sembilan sekeluarga di Kampung Baru musnah sama sekali malah tiada sebarang barang dapat diselamatkan oleh ahli keluarga ketika kejadian. Menurut penyewa rumah itu, S Parwaty, 40, dia tiada di rumah ketika kejadian kerana bekerja di restoran di bandar. “Suami saya, Murugan, 40, datang mengambil saya dan memberitahu rumah yang kami sewa sejak dua tahun lalu terbakar. Saya terkejut apabila sampai di rumah dan melihat rumah kami sudah musnah dalam sekelip mata. “Buat sementara waktu, kami akan tinggal di dewan malah sebarang keperluan seperti pakaian dan makanan tidak ada. Saya juga tidak dapat berfikir apa-apa,” katanya ketika di temui di tempat kejadian. Anaknya, M. Rajeshwari, 23, yang berada di rumah ketika kejadian berkata, dia menyedari kebakaran itu apabila melihat api marak dari bilik belakang tanpa dapat berbuat apa-apa kerana terkejut. “Sebelum itu saya berada di ruang tamu bersama anak saya, tetapi tidak mengesyaki apa-apa apabila adik bongsu, M. Chandran, 4, tiada bersama. “Tetapi apabila melihat api marak dari bilik belakang, saya terus terfikir adik yang mungkin berada di dalam bilik itu. Tanpa berfikir panjang, saya meredah masuk ke dalam bilik dan membawa adik keluar,” katanya ketika di temui di sini. Rajeshwari berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang adiknya yang lain selain ayah, Murugan, 47, berada di rumah itu. “Api merebak dengan cepat membuatkan kami tidak sempat menyelamatkan malah jiran turut membantu usaha memadam api sebelum pihak Bomba dan Penyelamat tiba,” katanya. Pegawai Operasi, Mohd Ikhsan Mohd Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.42 petang dan bergegas ke tempat kejadian dua jentera bomba dengan 19 anggota berjaya memadam api dalam tempoh 15 minit. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Teruntum, Chang Hong Seong berkata, beliau sudah melaporkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bantuan segera disediakan. “Bantuan segera seperti makanan dan pakaian disediakan malah jiran juga ada turut memberikan sumbangan. “Buat sementara waktu mereka sekeluarga di tempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Baru sebelum saudara mara mereka datang mengambil,” katanya.
No comments:
Post a Comment