Budak mata biru sedia jumpa pakar genetik
SUNGAI PETANI - Keluarga kanak-kanak bermata biru, Mohd. Aizat Aiman Mohd. Rizal bersedia mendapatkan khidmat nasihat pakar genetik dan perubatan bagi membolehkan mereka mengetahui status sebenar tahap kesihatan kanak-kanak itu.Bapanya, Mohamad Rizal Salim, 32, memberitahu, pihaknya tidak mempunyai masalah berbuat demikian memandangkan sebelum ini Mohd. Aizat Aiman telah menjalani pemeriksaan rutin di hospital kerajaan. Bagaimanapun, lelaki itu berharap pihak berkaitan dapat membantu membiayai kos rawatan perubatan anaknya memandangkan dia hanya bekerja kilang dan tidak mampu menghantar kanak-kanak itu ke pusat perubatan swasta."Kami berasa lega kerana disahkan doktor bahawa dia tidak mengalami masalah penglihatan. Namun, jauh di sudut hati saya bimbang dia akan mewarisi masalah pendengaran seperti yang dialami saya dan isteri," katanya dalam jawapan bertulis kepada pemberita ketika ditemui di rumah mertuanya di Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak dekat sini semalam.Muka depan Utusan Malaysia pada Sabtu lalu menyiarkan kisah Mohd. Aizat Aiman yang berusia setahun empat bulan dari Kampung Teluk Amboi, Pulau Sayak menjadi tumpuan penduduk setempat gara-gara matanya yang didakwa bertukar warna daripada hitam kepada biru.Datuknya, Ahmad Mustafa, 62, memberitahu, kejadian pelik itu berlaku selepas beberapa bulan cucunya dilahirkan.Katanya, semasa dilahirkan, mata cucunya berwarna hitam namun selepas beberapa bulan ia berubah warna menjadi biru dan berkilauan. Keluarganya juga hairan dengan perubahan itu kerana tidak mempunyai darah kacukan orang Barat ataupun Asia Barat.Berikutan itu, pensyarah perubatan di Jabatan Fisiologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Dr. Ruszymah Idrus menasihatkan keluarga terbabit membawa Mohd. Aizat Aiman berjumpa pakar genetik bagi memastikan kanak-kanak tersebut tiada masalah kesihatan lain.Mohamad Rizal yang mengalami masalah pendengaran memberitahu, dia tidak begitu hairan anak tunggalnya itu mempunyai mata berwarna biru memandangkan dia sendiri turut memiliki mata biru di sebelah kiri."Mata saya biru tapi sedikit dan tak nampak ketara," jelasnya.Ketika ditanya tentang kemungkinan kejadian itu berlaku kerana kegemaran isterinya, Noraini Ahmad, 31, bermain dengan seekor kucing peliharaan bermata biru sewaktu hamil, Mohamad Rizal berkata, dia tidak menolak sama sekali andaian tersebut."Kalau nak kata tak boleh percaya tak juga sebab menurut cerita ibu, semasa mengandungkan dan hampir cukup bulan, ibu saya teringin sangat nak tengok mat saleh (orang Barat). Sebab itu mata kiri saya jadi biru sedangkan dalam salasilah keluarga saya tak ada darah campuran," dakwanya.Sementara itu Noraini berkata, dia berasa terkejut selepas dimaklumkan bapanya bahawa ramai yang datang melihat anaknya di rumah mereka selepas kisahnya tersiar dalam akhbar."Saya tidak pasti sama ada kejadian mata biru Mohd. Aizat ada kaitan dengan masalah kesihatan atau sebaliknya, namun saya berharap dia dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa," katanya yang turut memberikan jawapan secara bertulis kepada pemberita.Dalam pada itu Ahmad memberitahu, dia tidak 'menang tangan' mengangkat telefon daripada sanak-saudara yang bertanyakan kejadian itu. "Sejak disiarkan akhbar, ramai saudara termasuk dari Pahang dan Melaka menghubungi saya bertanyakan kesahihan berita itu. Malah, saya juga disapa orang ramai ketika keluar membeli barang keperluan di pekan Kota Kuala Muda," katanya."Seorang pekedai Cina tempat saya selalu membeli barang keperluan rumah juga ada bertanya kepada saya sama ada kami sekeluarga 'buat' sendiri mata biru dengan memakaikan cucu saya kanta lekap. Saya jawab Allah yang buat (cipta)," katanya.
No comments:
Post a Comment